BAGAN DATUK – Seramai 160 murid dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup menerima sumbangan menerusi Program Back To School yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Beliau berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Perak bagi meringankan beban kewangan ibu bapa khususnya menjelang sesi persekolahan baharu.
“Program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta keperluan pendidikan anak-anak terus terbela, terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Walaupun nilai sumbangan tidak besar, namun diharap ia dapat membantu sedikit sebanyak serta memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Dewan Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.
Menurut Shahrul Zaman, bantuan tunai yang disalurkan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bagi keperluan persekolahan seperti pembelian pakaian, kasut serta peralatan belajar.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada para pelajar agar sentiasa menghormati guru dan ibu bapa selain menjadikan ilmu sebagai bekalan utama dalam membina masa depan.
“Ilmu yang dituntut hari ini akan menjadi aset paling berharga pada masa hadapan dan membentuk jati diri generasi berakhlak serta berdaya saing,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut dan memberi jaminan bahawa usaha membantu rakyat khususnya dalam aspek pendidikan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa. - DETIK MALAYSIA