Dr R Manivannan - Kredit foto - Bernama
KUALA LUMPUR – Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang selepas tragedi banjir kilat di Rasuwagadhi, Nepal merayu Perdana Menteri supaya campur tangan secara langsung bagi memastikan tindakan bersepadu, jawapan jelas dan perlindungan segera diberikan kepada mereka.
Rayuan itu dibuat selepas keluarga terbabit menghadiri sesi taklimat bersama agensi kerajaan yang diselaraskan Wisma Putra semalam, namun mendakwa masih terdapat beberapa persoalan berkaitan aspek perundangan, kewangan dan urusan praktikal yang belum terjawab.
Keluarga mangsa berkata, situasi itu memerlukan penyelarasan melibatkan operasi mencari dan menyelamat, proses pengecaman DNA, urusan diplomatik, proses perundangan, perbankan, insurans serta komitmen kewangan.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata, tiada satu agensi sahaja yang mampu menyelesaikan kesemua perkara berkenaan dan mereka memerlukan kepimpinan secara langsung bagi memastikan tindakan kerajaan lebih tersusun serta membuahkan penyelesaian praktikal.
Dalam taklimat itu, pasukan SMART memaklumkan cabaran operasi serta aktiviti mencari dan menyelamat yang dijalankan di Nepal.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula memaklumkan sebanyak 98 sampel DNA telah dikumpul, diproses dan dihantar kepada pihak berkuasa berkaitan di Nepal, manakala tiga sampel DNA turut dihantar melalui saluran China-Tibet untuk proses padanan.
Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan proses persampelan dan pemprosesan DNA Malaysia selesai pada 24 September lalu.
Keluarga turut dimaklumkan bahawa kerajaan Nepal sedang membincangkan kemungkinan menamatkan operasi mencari dan menyelamat, namun belum ada tarikh yang disahkan.
Kerajaan Nepal juga dijangka melengkapkan proses padanan DNA dalam tempoh kira-kira dua bulan, namun masih belum jelas sama ada keputusan akan dikeluarkan secara berperingkat atau selepas keseluruhan proses selesai.
Keluarga turut mempersoalkan mengapa hanya tiga sampel DNA dihantar melalui saluran China-Tibet sedangkan 20 lagi rakyat Malaysia daripada kumpulan sama dipercayai berada di lokasi berkenaan ketika itu.
Mereka berkata, perkara itu telah dibangkitkan kepada Kedutaan Malaysia di Beijing yang meminta keluarga mengemukakan bukti dan maklumat sokongan untuk penelitian lanjut bersama pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pada itu, isu status perundangan mangsa turut menjadi kebimbangan utama keluarga.
Mereka dimaklumkan bahawa berdasarkan kerangka undang-undang Nepal, pengesahan kematian bagi tragedi seumpama itu mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun, walaupun pihak berkuasa Nepal dilaporkan sedang meneliti kemungkinan memendekkan tempoh tersebut.
Keluarga turut memerlukan panduan bertulis yang jelas daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai status perundangan 55 rakyat Malaysia yang masih hilang sekiranya pengesahan kematian oleh Nepal mengambil masa panjang.
Selain itu, mereka membangkitkan keperluan perlindungan segera terhadap komitmen kewangan dan kontrak termasuk pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi, kemudahan kredit, insurans hayat, insurans perjalanan serta tuntutan dan obligasi kontrak lain.
Namun, wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bank Negara Malaysia tidak hadir dalam pertemuan berkenaan menyebabkan keluarga tidak mendapat penjelasan secara langsung mengenai perkara terbabit.
Keluarga turut meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium atau bentuk perlindungan sementara yang sesuai terhadap pinjaman dan komitmen kewangan berkaitan 55 rakyat Malaysia yang hilang sehingga pengesahan kematian dan dokumen perundangan diperoleh.
Menurut mereka, permintaan itu bukan untuk menghapuskan hutang, sebaliknya perlindungan sementara bagi mengelakkan keluarga berdepan tekanan kewangan tambahan, penalti kelewatan pembayaran atau tindakan kutipan ketika status orang tersayang masih belum diselesaikan.
Keluarga turut meminta pertemuan seterusnya membabitkan pegawai dan agensi yang mempunyai kuasa membuat keputusan supaya tidak berlaku keadaan mereka sekadar diminta menunggu untuk mendapatkan jawapan daripada agensi lain.
Mereka juga membangkitkan isu layanan terhadap waris apabila diminta menyerahkan telefon bimbit kepada pihak keselamatan sebelum memasuki sesi taklimat, sedangkan pegawai kerajaan dan agensi dilihat menggunakan telefon sepanjang sesi berkenaan.
Keluarga berkata, mereka memahami keperluan keselamatan, namun langkah berkenaan perlu munasabah, dilaksanakan secara adil dan dijelaskan dengan baik.
Mereka turut meminta bahan bertulis atau slaid pembentangan diberikan selepas sesi taklimat supaya maklumat berkaitan orang tersayang dapat difahami dan disampaikan dengan tepat kepada ahli keluarga lain.
Selepas lebih sebulan dalam ketidakpastian, keluarga berkata empat perkara memerlukan tindakan segera dan bersepadu iaitu pencarian, pengecaman dan maklumat; status perundangan; perlindungan kewangan dan undang-undang serta penyelarasan kerajaan.
Keluarga turut menggesa Perdana Menteri bertemu secara langsung dengan mereka, memimpin penyelarasan antara agensi dan mengadakan pertemuan segera bersama agensi berkaitan termasuk AGC, Bank Negara Malaysia, PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Wisma Putra.
“Kami bukan meminta layanan istimewa.
“Kami meminta layanan yang sama rata, maklumat tepat pada masanya, kejelasan undang-undang, tindakan bersepadu dan perlindungan praktikal,” menurut kenyataan itu.
Keluarga berkata, setiap rakyat Malaysia dan setiap keluarga mempunyai kepentingan untuk diberikan perhatian.
“Kami memerlukan penglibatan Perdana Menteri. Kami memerlukan jawapan. Kami memerlukan perlindungan dan kami memerlukan tindakan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
