TANJUNG MALIM – Seramai 7,171 pelajar Ijazah Sarjana Muda daripada 53 kursus kokurikulum berkredit menyertai Karnival Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2026 yang berlangsung di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah di sini semalam
Program tersebut dirasmikan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan dianjurkan bagi memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan serta kemahiran insaniah mahasiswa.
Menurut UPSI, karnival yang membawa tema “Beyond Academics, Building Leaders” itu bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai ciri kepimpinan serta kebolehan berinteraksi dengan masyarakat.
Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang penganjuran karnival berkenaan termasuk demonstrasi penerjunan payung terjun oleh VAT 69 dan demonstrasi motosikal berkuasa tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut menjadi tarikan ialah persembahan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan, Pahang, selain penganjuran Klinik Kayak, Karnival Kadet Bomba, Program Orienteering Challenge dan Klinik Skills Up: Master The Game.
Selain aktiviti berbentuk kemahiran dan rekreasi, karnival tersebut turut dimeriahkan dengan Kejohanan Hoki Campuran 9 Sebelah serta Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun dan Bawah 12 Tahun.
UPSI memaklumkan pelbagai lagi aktiviti berteraskan pendidikan, kesukarelawanan, sukan dan rekreasi turut diadakan dengan penyertaan warga kampus serta masyarakat setempat.
Menurut universiti itu, penganjuran Karnival Kokurikulum UPSI 2026 mencerminkan komitmen institusi berkenaan dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan memiliki nilai kepimpinan yang tinggi menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI