KUALA LUMPUR – Debut Piala Dunia pertama terus menghadirkan detik bersejarah buat pasukan kerdil Caribbean, Curaçao apabila berjaya meraih mata sulung mereka di pentas terbesar bola sepak dunia selepas mengikat Ecuador 0-0 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Wira utama Curaçao sudah tentu penjaga gol berpengalaman, Eloy Room yang mempamerkan aksi luar biasa dengan melakukan 15 penyelamatan sepanjang perlawanan di Stadium Arrowhead, sekali gus mencipta rekod baharu Piala Dunia bagi jumlah penyelamatan terbanyak dalam tempoh 90 minit sejak statistik rasmi diperkenalkan pada 1966.
Keputusan itu menjadi penawar buat Curaçao yang sebelum ini dibelasah Jerman 7-1 dalam penampilan sulung mereka di kejohanan tersebut, sekali gus menghidupkan kembali peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.
Ecuador yang muncul naib juara kelayakan zon Amerika Selatan menguasai hampir keseluruhan permainan dengan mencatat 65 peratus penguasaan bola selain melepaskan 28 percubaan termasuk 15 tepat ke sasaran.
Bagaimanapun, segala usaha pasukan Amerika Selatan itu gagal menembusi benteng terakhir Curaçao apabila Room tampil cemerlang menafikan satu demi satu percubaan lawan.
Penjaga gol berusia 37 tahun itu mula mencuri tumpuan seawal minit ketiga apabila menepis percubaan jarak dekat penyerang Ecuador, Enner Valencia yang sudah berada dalam kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol.
Walaupun banyak bertahan, Curaçao sesekali mengancam menerusi serangan balas dengan Sherel Floranus hampir mengejutkan lawan sebelum rehat, namun percubaannya tersasar.
Memasuki babak kedua, Ecuador terus menggandakan asakan, namun Room sekali lagi menjadi penghalang apabila menyelamatkan tandukan Gonzalo Plata sebelum sejam permainan berlangsung.
Ketika tekanan semakin memuncak, Curaçao terus bertahan dengan disiplin tinggi dan turut dibantu sedikit nasib apabila percubaan Ángelo Preciado yang tersasar terkena palang sebelum keluar.
Sebaik wisel penamat dibunyikan, pemain Curaçao terus mengerumuni Room sebagai tanda penghargaan selepas membantu negara itu mencipta antara pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak mereka.
Lebih manis, Curaçao yang diiktiraf sebagai negara dengan populasi paling kecil pernah layak ke Piala Dunia membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan yang berada lebih 50 anak tangga di atas mereka dalam ranking dunia FIFA.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, juara dunia empat kali, Jerman bangkit menewaskan Ivory Coast 2-1 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik dan muncul juara kumpulan.
Ecuador pula kini berdepan tugas getir menentang Jerman pada aksi terakhir kumpulan, manakala Curaçao akan turun menentang Ivory Coast dengan keyakinan tinggi untuk terus melakar sejarah.
Aksi luar biasa Room pastinya menjadi bualan utama, namun semangat juang serta disiplin tinggi seluruh pasukan Curaçao membuktikan bahawa negara terkecil di kejohanan itu masih mampu mengimpikan kisah dongeng terbesar Piala Dunia 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA