MONTERREY – Jepun menghidupkan semula kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya selepas membelasah Tunisia 4-0 pada aksi Kumpulan F di Stadium BBVA, Monterrey, awal pagi tadi.
Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan skuad Samurai Blue meraih tiga mata pertama kejohanan sekali gus melonjak ke tangga kedua kumpulan dengan empat mata, berkongsi mata dengan pendahulu, Belanda.
Empat gol Jepun dijaringkan oleh Daichi Kamada, Ayase Ueda yang meledak dua gol serta Junya Ito.
Jepun yang terikat 2-2 dengan Belanda pada perlawanan pertama tampil garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Kamada.
Gol itu berpunca daripada gerakan kemas yang dimulakan Ao Tanaka sebelum Keito Nakamura melakukan hantaran lintang rendah ke dalam kotak penalti untuk disudahkan Kamada.
Pasukan kendalian Hajime Moriyasu terus menguasai permainan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-10, namun percubaan Takehiro Tomiyasu berjaya diselamatkan di garisan gol.
Dominasi Jepun akhirnya membuahkan hasil sekali lagi pada minit ke-31 apabila Ueda menerima hantaran jauh sebelum melakukan larian solo dan melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Tunisia untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Jepun tidak menurunkan tempo permainan dan menambah gol ketiga pada minit ke-69.
Ueda bertindak cemerlang apabila melorongkan bola kepada Ito yang tenang menewaskan penjaga gol lawan untuk mencatat nama sebagai penjaring.
Ueda kemudian melengkapkan malam gemilangnya pada minit ke-83 apabila menanduk masuk hantaran silang Ito bagi memastikan kemenangan besar 4-0 menjadi milik Jepun.
Selepas tamat perlawanan, Moriyasu memuji komitmen pemainnya yang berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan sempurna selain menghargai sokongan luar biasa penyokong Jepun yang hadir ke stadium.
Sementara itu, Ueda mengakui kemenangan tersebut amat penting selepas Jepun sekadar seri pada aksi pembukaan.
“Kami tahu perlu menang hari ini supaya keputusan menentang Belanda memberi makna. Saya gembira dapat membantu pasukan dengan dua gol,” katanya.
Jepun akan menentang Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F pada 26 Jun ini, dengan keputusan positif bakal mengesahkan tempat mereka ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA