Gambar hiasan.
SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berterusan tentera Israel membunuh wartawan dan petugas media di Gaza, termasuk insiden terbaru yang mengorbankan jurukamera Al Jazeera, Ahmed Wishah.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Ahmed Wishah terbunuh dalam serangan udara Israel di Kem Pelarian Bureij pada 20 Jun lalu ketika menjalankan tugas sebagai pengamal media.
Menurut beliau, kematian Ahmed yang dilaporkan menjadi petugas media Al Jazeera ke-12 terbunuh sejak Oktober 2023 merupakan peringatan tragis terhadap risiko besar yang dihadapi wartawan dalam usaha melaporkan realiti peperangan kepada masyarakat dunia.
“Wartawan adalah orang awam yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Serangan sengaja terhadap petugas media merupakan pelanggaran serius undang-undang konflik bersenjata dan boleh dianggap sebagai jenayah perang.
“Corak pembunuhan berulang terhadap wartawan di Gaza menimbulkan kebimbangan bahawa mereka disasarkan secara sistematik bagi menyekat laporan bebas serta membungkam saksi kepada kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim menolak sebarang cubaan menghalalkan pembunuhan wartawan menerusi tuduhan yang tidak disokong bukti kukuh selepas kematian mereka.
Katanya, dakwaan sedemikian tidak boleh menggantikan siasatan bebas, penelitian kehakiman dan pematuhan kepada piawaian undang-undang antarabangsa.
“Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab moral dan perundangan untuk memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Kegagalan bertindak tegas terhadap pelanggaran ini hanya menggalakkan pelaku serta melemahkan prinsip undang-undang antarabangsa dan perlindungan hak asasi manusia,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa siasatan antarabangsa yang bebas dan segera dijalankan terhadap kematian Ahmed Wishah serta semua wartawan yang terbunuh di Gaza.
Selain itu, pertubuhan berkenaan turut menuntut individu yang mengarahkan, memudahkan atau melaksanakan serangan terhadap wartawan dan institusi media didakwa mengikut undang-undang.
Mapim turut menyeru campur tangan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan badan kehakiman berkaitan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri ketika mereka yang mempertaruhkan nyawa untuk melaporkan kebenaran menjadi sasaran serangan.
“Kebebasan media adalah tonggak keadilan dan akauntabiliti. Apabila wartawan dibunuh tanpa tindakan undang-undang, kebenaran itu sendiri menjadi mangsa,” katanya.
Mapim turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahmed Wishah, rakan-rakan sekerjanya serta semua pengamal media yang terus menjalankan tugas dalam keadaan berbahaya di Gaza. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Gambar hiasan