BRNO, Republik Czech – Pelumba muda negara, Hakim Danish mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kemenangan sulung Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menjuarai Grand Prix (GP) Czech 2026 di Litar Automotodrom Brno hari ini.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan tunggangan luar biasa apabila bangkit daripada kedudukan ke-14 di petak permulaan untuk muncul juara, sekali gus menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk melihat pelumba negara menjuarai perlumbaan Moto3.
Kali terakhir pelumba Malaysia berdiri di puncak podium Moto3 adalah menerusi Khairul Idham Pawi pada GP Jerman 2016.
Hakim, 18, melintasi garisan penamat dengan catatan masa 33 minit 34.264 saat (s), meninggalkan pencabar terdekat dengan kelebihan 0.466s selepas aksi mendebarkan sehingga ke pusingan terakhir.
Sebelum perlumbaan, Hakim sebenarnya mencatat masa kedua terpantas ketika sesi kelayakan, namun dikenakan penalti 12 petak kerana menunggang terlalu perlahan ketika cuba mendapatkan bantuan ‘slipstream’.
Bagaimanapun, penalti tersebut langsung tidak menjejaskan semangat juangnya apabila dia membuat permulaan cemerlang dan pantas memintas kelompok pelumba di hadapan.
Malah, Hakim sempat mendahului perlumbaan seawal pusingan pertama sebelum kedudukannya kembali berubah dalam saingan sengit kelompok hadapan.
Pelumba negara itu kekal berada dalam kelompok pencabar podium sepanjang perlumbaan dan beberapa kali bertukar posisi dengan pelumba lain termasuk Brian Uriarte serta David Almansa.
Pada pusingan ke-12, Hakim turun ke kedudukan ketiga sebelum dipintas sekali lagi, namun dia segera bangkit merampas semula tempat kedua pada pusingan berikutnya bagi memastikan peluang memburu kemenangan terus terbuka.
Segala-galanya ditentukan pada pusingan terakhir apabila Hakim melakukan gerakan memintas yang cukup berani untuk mendahului perlumbaan sebelum mempertahankan kedudukan tersebut dengan tenang sehingga ke garisan penamat.
Kemenangan bersejarah itu membolehkan Hakim mengutip 25 mata maksimum dan meningkatkan pungutan keseluruhannya kepada 73 mata selepas sembilan pusingan musim ini.
Pencapaian tersebut turut melonjakkan kedudukannya ke tangga ketujuh carta keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 2026.
Kejayaan di Brno dianggap detik paling manis dalam karier antarabangsa Hakim setakat ini, selain mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam saingan Moto3 musim ini.
Kemenangan tersebut juga memberi suntikan semangat baharu kepada arena perlumbaan motosikal negara dengan harapan untuk melihat Jalur Gemilang terus berkibar di pentas dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing