ATLANTA – Sepanyol mempamerkan aksi bertenaga apabila membelasah Arab Saudi 4-0 pada perlawanan kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Mercedes-Benz awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad La Roja melonjak ke tangga teratas kumpulan dengan mengumpul empat mata selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam aksi pembukaan.
Bintang muda sensasi, Lamine Yamal membuka tirai jaringan Sepanyol seawal minit ke-10 hasil hantaran Mikel Oyarzabal untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Oyarzabal kemudian menggandakan kelebihan Sepanyol pada minit ke-21 sebelum penyerang itu sekali lagi menemui sasaran tiga minit kemudian bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Bersambung babak kedua, Sepanyol terus menekan dan memperoleh gol keempat pada minit ke-49 menerusi jaringan sendiri pertahanan Arab Saudi, Hassan Al-Tombakti selepas cubaan Marc Cucurella gagal ditangkap kemas penjaga gol, Mohammed Alowais.
Arab Saudi yang sebelum ini mengikat Uruguay 1-1 gagal memberi saingan bermakna apabila diasak hampir sepanjang perlawanan oleh juara dunia 2010 itu.
Keputusan tersebut menyaksikan Sepanyol mendahului Kumpulan H dengan empat mata, manakala Arab Saudi, Uruguay dan Cape Verde masing-masing mengumpul satu mata sebelum satu lagi perlawanan kumpulan berlangsung.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Sepanyol dijadual bertemu Uruguay, manakala Arab Saudi akan membuat perhitungan dengan Cape Verde. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo