SEREMBAN – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung menghadiri Jelajah Pameran Al-Aqsa dan Palestin 2026 yang bakal berlangsung di Dewan Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan pada 6 hingga 8 November ini.
Program bertemakan Di Mana Dicari Ganti: Gaza dan Al-Aqsa itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah Palestin, kedudukan Masjid Al-Aqsa serta krisis kemanusiaan yang dihadapi penduduk Gaza.
MAPIM dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran selama tiga hari itu akan menampilkan pameran khas Timeline Palestin dan Al-Aqsa menggunakan konsep terowong masa bagi membawa pengunjung menelusuri sejarah Palestin secara kronologi.
Pameran berkenaan merangkumi perkembangan sejarah Palestin, isu pendudukan, perjuangan rakyatnya serta kesan konflik terhadap kehidupan penduduk termasuk kanak-kanak dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Selain pameran, program itu turut merangkumi ceramah khas di beberapa masjid, aktiviti kesedaran masyarakat, program pendidikan untuk kanak-kanak dan pelajar serta Malam Al-Aqsa dan Palestin.
“Gaza dan Al-Aqsa merupakan lambang amanah sejarah, keadilan, kebebasan dan tanggungjawab kemanusiaan yang perlu terus dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, MAPIM akan melancarkan Dana Palestin Negeri Sembilan bagi menggerakkan sumbangan masyarakat untuk membantu rakyat Palestin, khususnya keluarga di Gaza yang berdepan kesukaran mendapatkan perlindungan ketika musim sejuk.
Menerusi Kempen Bantuan Musim Sejuk Gaza 2026–2027, MAPIM menyasarkan bantuan kepada 1,000 keluarga dengan anggaran RM2,500 bagi setiap keluarga untuk komponen khemah dan perlindungan.
Bagaimanapun, jumlah itu tertakluk kepada kos sebenar, keperluan penerima serta keadaan penghantaran dan pengagihan bantuan.
Sumbangan yang dikumpulkan dicadangkan digunakan bagi penyediaan khemah, kanvas perlindungan, selimut, pakaian musim sejuk, keperluan keluarga dan bantuan kecemasan lain berdasarkan keperluan di lapangan.
MAPIM turut menggalakkan penyertaan institusi masjid, sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan sektor korporat bagi memperluas gerakan solidariti berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sasaran pengunjung masih tertakluk kepada kapasiti lokasi, pengesahan penyertaan institusi dan perancangan operasi.
MAPIM berharap penganjuran tersebut bukan sekadar program kesedaran selama tiga hari, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kerjasama masyarakat dan bantuan kemanusiaan yang berterusan untuk rakyat Palestin. – DETIK MALAYSIA
