PETALING JAYA – Kesibukan memenuhi tanggungjawab harian dan menjaga kebajikan orang sekeliling menyebabkan sesetengah individu terlupa memberikan perhatian kepada keperluan diri sendiri.
Situasi itu mendorong pengasas Claire Organics, Louise Chu, mengingatkan orang ramai bahawa penjagaan diri bukan perbuatan mementingkan diri, sebaliknya satu bentuk penghargaan terhadap diri sendiri.
Menurut beliau, individu perlu memberi ruang kepada diri untuk berehat, memperlahankan rentak kehidupan dan melakukan perkara yang membantu mereka berasa lebih baik.
“Kadangkala, kita terlalu sibuk menjaga orang lain sehingga terlupa menjaga diri sendiri.
“Bagi saya, Self-Claire ialah peringatan bahawa penjagaan diri bukan mementingkan diri. Ia tentang memperlahankan rentak kehidupan, berbuat baik kepada diri sendiri dan memberikan kasih sayang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-14 Claire Organics menerusi acara bertemakan A Celebration of Self-Claire di cawangan utamanya di pusat beli-belah 1 Utama pada 10 dan 11 Oktober lalu.
Sambutan itu menghimpunkan wakil media, pempengaruh, pelanggan setia dan penyokong gaya hidup mesra alam bagi mengetengahkan kepentingan penjagaan diri serta amalan penggunaan secara lebih bertanggungjawab.
Selain menekankan kesejahteraan diri, acara berkenaan turut mengetengahkan usaha menggunakan semula bekas produk melalui bengkel menghasilkan semburan bilik menggunakan bekas produk Claire Organics yang telah kosong.
Inisiatif itu memberi peluang kepada peserta meneroka penggunaan semula bekas produk menerusi aktiviti kreatif, sekali gus membawa mesej bahawa barangan terpakai masih boleh dimanfaatkan.
Louise berkata, beliau berharap perjalanan jenama itu dapat terus menggalakkan masyarakat mengamalkan sikap baik bukan sahaja terhadap orang lain dan alam sekitar, malah diri sendiri.
“Ketika dunia sering mendorong kita untuk terus bergerak dan mengutamakan orang lain, saya berharap kita dapat mengingati bahawa menjaga diri sendiri juga penting untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
