Dr R Manivannan - Kredit foto - Bernama
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memperkukuh pemantauan kualiti udara di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan murid terus terpelihara ketika jerebu melanda negara.
Pengerusi Majlis Gagasan Malaysia, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, pemantauan sedia ada perlu dinilai semula bagi memastikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada stesen berhampiran benar-benar menggambarkan keadaan di kawasan sekolah.
Menurut beliau, keadaan jerebu yang jelas kelihatan serta bau asap yang dapat dihidu di sekitar sekolah menimbulkan kebimbangan terhadap udara yang disedut murid sepanjang sesi persekolahan.
“Persoalan yang lebih penting ialah sama ada bacaan tersebut menggambarkan keadaan sebenar di kawasan sekolah, dan sama ada langkah perlindungan yang diambil benar-benar mengurangkan pendedahan murid kepada udara tercemar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rekod pemantauan menunjukkan bacaan IPU di beberapa stesen sekitar Kuala Lumpur kekal pada tahap tidak sihat pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Menurut laporan Bernama berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan di Batu Muda ialah 170 manakala Cheras mencatatkan 168 pada pukul 9 pagi semalam.
Katanya, keadaan itu menunjukkan kualiti udara perlu terus diberi perhatian kerana bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Beliau turut mempersoalkan tahap perlindungan murid yang diarahkan berada di dalam bangunan ketika jerebu, khususnya di sekolah yang tidak dilengkapi sistem penapisan udara berkecekapan tinggi.
“Langkah menghentikan aktiviti luar adalah penting. Namun, satu persoalan asas masih perlu dijawab: apabila murid diarahkan berada di dalam bangunan, adakah udara di dalam bilik darjah benar-benar selamat untuk mereka bernafas?” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menerajui pembentukan rangkaian pemantauan kualiti udara di kawasan sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan agensi teknikal berkaitan.
Cadangan itu merangkumi pemantauan setempat, pengukuran zarah halus PM2.5, paparan data kepada orang awam, panduan perlindungan di dalam bangunan serta protokol tindakan apabila risiko pencemaran meningkat.
Beliau berkata, data pemantauan perlu disahkan melalui kaedah yang sesuai dan tidak boleh dianggap setara dengan bacaan rasmi tanpa pengesahan sewajarnya.
Selain itu, kerajaan disaran menyediakan garis panduan jelas berkaitan pengudaraan bilik darjah, pengurusan tingkap dan pintu serta penggunaan penapis udara mengikut kesesuaian bangunan.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan murid tidak seharusnya bergantung pada kemampuan kewangan sesebuah sekolah atau ibu bapa.
“Kita tidak perlu menunggu sehingga IPU melepasi 200 untuk mula bertanya sama ada langkah perlindungan yang sedang dilaksanakan mencukupi. Bacaan dalam kategori tidak sihat sudah menuntut perhatian, khususnya apabila pendedahan berlaku berulang kali dan melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan lebih menyeluruh dan protokol tindakan yang jelas penting bagi melindungi kesihatan murid, selain memastikan kesinambungan pembelajaran sekiranya sekolah perlu ditutup sementara. – DETIK MALAYSIA
