Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy ditemani ibu bapanya sendiri sewaktu menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI ke-26 pada 10 Oktober 2026.
KEMAMAN: Demi memenuhi hasrat anak mereka, ibu bapa Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy sanggup menempuh perjalanan selama dua hari dengan menaiki ambulans dari Arau, Perlis, ke Kemaman, Terengganu, melalui Banting, Selangor, bagi membolehkan anak mereka menghadiri sendiri majlis konvokesyennya.
Bagi Afiq, 23, menghadiri Istiadat Konvokesyen Kali Ke-26 Kolej Universiti TATI (UC TATI) membawa makna yang cukup besar, lebih-lebih lagi selepas dia disahkan menghidap kanser otak tahap empat ketika berada pada tahun akhir pengajiannya.

Walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot dan memerlukan bantuan oksigen, Afiq tetap berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian), sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Khas Aegrotat.
Bapanya, pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, berkata keluarga mereka nekad meneruskan perjalanan itu kerana Afiq sendiri mahu hadir pada majlis berkenaan.
Menurutnya, mereka pada awalnya turut mempertimbangkan penerbangan ihsan bagi memudahkan perjalanan, namun rancangan itu terpaksa dibatalkan selepas mengambil kira nasihat doktor yang tidak mengesyorkan Afiq menaiki pesawat berdasarkan keadaan kesihatannya.

“Hasrat untuk menghadiri majlis konvokesyen itu memang datang daripada dirinya sendiri. Kami tidak sampai hati untuk mengatakan tidak, walaupun tahu perjalanan yang perlu ditempuh agak jauh.
“Kami mengambil masa dua hari untuk sampai ke sini kerana perlu mengambil kira keperluan perubatannya sepanjang perjalanan.
“Demi Afiq, kami sanggup melakukan apa sahaja yang termampu. Kami turut mempertimbangkan penerbangan ihsan supaya dia dapat menghadiri majlis itu, tetapi atas nasihat doktor, keadaannya tidak mengizinkan dia menaiki pesawat,” katanya.

Justeru, keluarga berkenaan memilih perjalanan menggunakan ambulans bagi memastikan Afiq mendapat perhatian dan bantuan perubatan yang diperlukan sepanjang perjalanan.
Pada istiadat konvokesyen yang berlangsung pada 10 Oktober lalu, Afiq tiba dengan kerusi roda bersama kedua-dua ibu bapanya sebelum menerima sendiri Anugerah Khas Aegrotat.
Anugerah itu disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato’ Ir. Kamaluddin Abd Rashid, dan Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
