PETALING JAYA – Cadangan pengambilalihan Boustead Plantations Berhad bernilai RM4.3 bilion oleh Achi Jaya Plantations Sdn. Bhd. perlu ditangguhkan sehingga segala persoalan berkaitan ketelusan dan konflik kepentingan dijelaskan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia susulan kebimbangan terhadap aspek pemilikan sebenar, kemampuan kewangan serta tatakelola urus niaga yang turut membabitkan kepentingan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, Boustead Plantations bukan sekadar sebuah syarikat perladangan, sebaliknya aset strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan kewangan, simpanan persaraan serta masa depan anggota dan veteran ATM.
“MCW membantah sebarang usaha memuktamadkan transaksi berkenaan selagi persoalan mengenai ketelusan, pemilikan sebenar, kemampuan kewangan dan potensi konflik kepentingan belum dijawab secara meyakinkan.
“MCW mengambil maklum penjelasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bahawa cadangan transaksi itu bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan serta mempelbagaikan portfolio pelaburannya.
“Namun, justifikasi komersial tidak boleh mengetepikan tuntutan tatakelola yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jais , beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan sekiranya terdapat asas munasabah berkaitan kemungkinan penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan.
“Aset strategik negara bukan milik mana-mana pemimpin, penasihat ekonomi atau kelompok korporat. Ia merupakan amanah yang wajib diurus dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
“Jangan sampai keuntungan jangka pendek mengorbankan kepentingan generasi akan datang,” katanya. – DETIK MALAYSIA
