SHAH ALAM – Seramai 16 pasukan yang mewakili daerah dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal bersaing merebut gelaran juara edisi kedua Piala F&N Magnolia Bawah 11 Tahun yang berlangsung dari 30 November hingga 2 Disember ini.
Kejohanan yang memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulung tahun lalu itu dijangka menyaksikan persaingan lebih sengit apabila penyertaan kali ini menghimpunkan pemain-pemain terbaik dari setiap daerah, berbanding edisi terdahulu yang membabitkan sekolah-sekolah juara daerah.
Sebanyak 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir dalam usaha memburu kejuaraan.
Kejohanan ini mendapat sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan F&N Magnolia sebagai penaja utama.
Pengarah Penglibatan Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Bin Norsyam Yee berkata, pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama dengan BSKK untuk tahun kedua selepas menerima sambutan menggalakkan pada penganjuran sulung tahun lalu.
“F&N Magnolia amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan BSKK bagi tahun kedua berturut-turut. Kejayaan penganjuran edisi pertama membuktikan keperluan terhadap kejohanan seumpama ini untuk pemain muda dan mendorong kami untuk meneruskannya,” katanya.
Menurut Norazrin, kejohanan berkenaan bukan sahaja menyediakan platform pertandingan kepada pemain muda untuk menguji kemampuan, malah turut menyokong usaha membudayakan pemakanan berkhasiat dalam kalangan generasi muda.
F&N Magnolia dihasilkan daripada 100 peratus susu segar tanpa penambahan air atau bahan pengawet dan dikeluarkan secara tempatan di sebuah ladang tenusu di Gemas, Negeri Sembilan. Susu berkenaan turut membekalkan nutrien penting seperti kalsium dan protein.
Bagi edisi tahun ini, BSKK melantik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sebagai penganjur, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Kuala Selangor dipilih sebagai tuan rumah.
Dalam majlis pengumuman kejohanan hari ini, Norazrin turut menyampaikan komitmen tajaan kepada Ketua Penolong Pengarah JPNS, Puan Norfadzilah Binti Rosdi. Majlis berkenaan disaksikan Mohd Zaki Bin Ghazali dari Unit Sukan 2, Sektor Perancangan Sukan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Turut hadir ialah Noor Hisyam Bin Mohd Jaini, Roslan Ab Latiff, Norazaludin Azmil Bin Razali, Mohd Syamin Ismail Bin Mohd Sabari, Mohd Naim Bin A Rahim dan Wan Samsuri Wan Hasan, yang kesemuanya merupakan Penolong Pengarah JPNS. – DETIK MALAYSIA
Kedudukan Pasukan dan Kumpulan
Kumpulan A: Hulu Langat, Kuala Langat, Keramat, Putrajaya B
Kumpulan B: Hulu Selangor, Sepang, Sentul, Petaling Perdana
Kumpulan C: Klang, Petaling Utama, Bangsar, Putrajaya A
Kumpulan D: Gombak, Kuala Selangor, Pudu, Sabak Bernam
