BARCELONA – Barcelona membuktikan ketajaman di depan gawang menjadi pemisah antara pasukan berpengalaman dan lawan apabila menewaskan Sabah FK 4-1 dalam aksi Liga Juara-Juara 2026/2027 di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan, awal pagi tadi.
Kemenangan pada aksi kelima fasa liga itu menyaksikan Anthony Gordon muncul wira Barcelona apabila meledak dua gol, manakala Karim Adeyemi dan Gabriel Jesus masing-masing turut mencatat nama sebagai penjaring.
Sabah bagaimanapun memberikan tentangan sengit terutama pada babak pertama apabila beberapa peluang berjaya dicipta, termasuk percubaan Ivan Lepinjica yang terkena palang gol.
Namun, kegagalan memanfaatkan peluang menyaksikan Barcelona menghukum tuan rumah menerusi jaringan Gordon selepas menyambar bola muntah hasil percubaan Alejandro Balde yang ditepis penjaga gol, Stas Pokatilov.
Gordon sekali lagi menemui sasaran selepas rehat apabila menyudahkan bola muntah susulan percubaan Gabriel Jesus yang berjaya ditepis Pokatilov.
Barcelona kemudian menambah dua lagi gol menerusi Adeyemi dan Jesus sebelum Sabah memperoleh gol sagu hati menerusi penyudah menarik Joy-Lance Mickels.
Mickels mengakui keberkesanan Barcelona menyudahkan peluang menjadi perbezaan terbesar antara kedua-dua pasukan.
Katanya, Sabah sebenarnya mempamerkan aksi baik pada babak pertama dan mempunyai peluang untuk menjaringkan dua atau tiga gol.
“Kami bermain dengan baik pada babak pertama dan mempunyai peluang. Kami terkena palang dan sebenarnya boleh menjaringkan dua atau tiga gol.
“Namun, jika tidak memanfaatkan peluang ketika menentang Barcelona, mereka akan menggunakan peluang yang ada. Itulah perbezaan terbesar antara kami,” katanya.
Sementara itu, pengendali Sabah, Valdas Dambrauskas tetap berbangga dengan komitmen pemainnya meskipun mengakui tiga gol Barcelona dalam tempoh 10 minit pada babak kedua menyukarkan usaha pasukannya.
Beliau berkata, perancangan permainan berjalan dengan baik terutama pada separuh masa pertama sebelum Barcelona meningkatkan tekanan selepas rehat.
Dambrauskas turut menyifatkan pengalaman beraksi menentang pasukan gergasi seperti Barcelona di hadapan penonton yang ramai sebagai sesuatu yang amat berharga buat pemainnya.
Katanya, perlawanan berkenaan diharap menjadi pengalaman positif untuk dibawa Sabah menghadapi aksi seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – UEFA.com
