MARANG – Penganjuran berskala komuniti namun berjaya menarik penyertaan luar jangka seramai 54 pelumba dari beberapa negeri menjadikan kejuaraan GG4x4 Medium Core 2026 yang membuka tirai Jumaat ini dijangka berlangsung sengit.
Saingan dua hari di Bukit Payung itu pada mulanya hanya dirangka khusus buat pelumba amatur dan pemilik jentera pacuan empat roda (4×4) persendirian di sekitar daerah ini.
Bagaimanapun, maklum balas positif serta permintaan tinggi daripada komuniti 4×4 luar Terengganu mendorong pihak penganjur memperkenalkan satu lagi kategori tambahan bagi memberi ruang kepada pelumba berpengalaman dan profesional.
Pengarah Pertandingan, Tengku Khairul A. Rahman berkata, pihaknya tidak menyangka perlumbaan anjuran kelab komuniti dari Kampung Binjai Bongkok itu mampu mencuri tumpuan pelumba luar yang mahu menguji keupayaan jentera dalam suasana musim tengkujuh.
“Niat asal kami sekadar mahu menyediakan platform buat penduduk kampung dan pemilik jentera persendirian merasai suasana perlumbaan sebenar.
“Namun, apabila ramai pelumba profesional menyatakan minat untuk turut serta kerana tertarik dengan cabaran trek musim hujan, kami wujudkan kategori Hantu Hardcore khusus buat mereka,” katanya yang juga pelumba 4×4 berpengalaman di pentas antarabangsa.
Menurut beliau, biarpun penganjuran itu tidak menawarkan hadiah wang tunai lumayan, sambutan menggalakkan daripada 54 peserta membuktikan saingan bertaraf ‘kampung’ berkenaan mempunyai prestij tersendiri.
Edisi kali ini mempertaruhkan dua kategori utama iaitu Medium Core dan Hantu Hardcore, dengan setiap pelumba perlu menamatkan lima peringkat khas (Special Stage – SS) dalam tempoh maksimum 15 minit bagi setiap peringkat.
Kejuaraan ini dianjurkan oleh kelab GG4x4 yang berpangkalan dari Kampung Binjai Bongkok, yang terdiri daripada penduduk-penduduk sekitar daerah Marang, Terengganu ini.
