Oleh Bazli Razak
TANJUNG MALIM – Menggunakan 70 tajuk lagu rock dan pop popular sebagai medium menyampaikan mesej penghargaan terhadap pengorbanan isteri menjadi pendekatan kreatif Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapannya sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 Sesi Kedua hari ini.
Menerusi ucapan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah itu, beliau menyelitkan tajuk-tajuk lagu popular, khususnya yang dekat dengan generasi 1980-an, bagi menggambarkan perjalanan kehidupan berumah tangga, cabaran menyambung pengajian serta pengorbanan pasangan yang sentiasa memberikan sokongan kepada suami.
Pendekatan kreatif itu bukan sahaja mengimbau nostalgia lagu-lagu berkenaan, malah menyentuh hati tetamu jemputan, ibu bapa dan ahli keluarga graduan apabila mesej mengenai pengorbanan, kasih sayang serta sokongan insan tersayang disampaikan melalui tajuk-tajuk lagu yang dekat dengan kehidupan mereka.
Md Amin berkata, pendekatan itu dipilih kerana majoriti hadirin membesar dengan irama rock dan pop era berkenaan, sekali gus menjadikan tajuk lagu tersebut dekat dengan ingatan serta pengalaman kehidupan mereka.
Antara tajuk lagu yang digunakan termasuk Fantasia Bulan Madu, Memori Daun Pisang, Mahligai Syahdu, Hidup Bersama, Hanya Insan Biasa, Sejati, Pawana, Bintang Kehidupan dan Gerimis Mengundang.
Md Amin mengaitkan tajuk-tajuk berkenaan dengan pengalaman pasangan yang pada awalnya menikmati alam percintaan sebelum berdepan pelbagai cabaran selepas berumah tangga, terutama apabila salah seorang daripada mereka melanjutkan pengajian.
Menurutnya, pengorbanan isteri sering tidak kelihatan, namun amat besar dalam memastikan suami dapat menumpukan perhatian kepada pengajian, menyiapkan tugasan dan memenuhi tuntutan akademik.
Beliau turut menggambarkan bagaimana seorang isteri perlu menguruskan anak-anak,menguruskan perbelanjaan keluarga, bekerja serta mengorbankan masa dan keperluan sendiri demi memastikan pasangan berjaya menamatkan pengajian.
Antara tajuk lagu lain yang diselitkan bagi menggambarkan pengorbanan itu ialah Tiada Lagi Kidungmu, Bermunajat Cinta, Melangkah Seiringan, Syurga di Wajahmu, Secangkir Madu Merah dan Semangat Yang Hilang.
Beliau turut menyentuh cabaran kewangan keluarga, termasuk komitmen membayar pinjaman kenderaan dan rumah, kos menghantar anak ke pusat transit serta pengorbanan isteri yang sanggup menggadaikan barang kemas bagi membantu membiayai pengajian suami.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan graduan supaya tidak melupakan jasa pasangan yang sentiasa berada di sisi ketika berdepan kesukaran, termasuk ketika hilang semangat dan menghadapi tekanan sepanjang pengajian.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan akademik bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya turut didukung pengorbanan insan tersayang yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Pada sesi kedua Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 hari ini, seramai 805 graduan peringkat Sarjana menerima skrol masing-masing. – DETIK MALAYSIA
