KUCHING – Kuching City FC melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) selepas membenam Phnom Penh Crown 3-0 pada aksi di Stadium Taha Ariffin, semalam.
Kemenangan itu bukan sahaja menyemarakkan peluang wakil negara tersebut untuk mara ke pusingan kalah mati, malah turut melunaskan dendam kekalahan kepada pasukan Kemboja itu pada pertemuan pertama sebelum ini.
Kuching City mempertaruhkan trio Ajdin Mujagic, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah bagi mengetuai jentera serangan, manakala Phnom Penh Crown menurunkan pemain kebangsaan New Zealand, Moses Dyer.
Tuan rumah hampir membuka jaringan seawal minit pertama menerusi tandukan Ajdin Mujagic, namun percubaannya sekadar menggegarkan tiang gol.
Kebuntuan akhirnya dipecahkan pada minit ke-32 apabila Safawi Rasid meledak gol pembukaan menerusi rembatan kaki kiri yang memperdayakan benteng pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Um Vichet.
Bersambung babak kedua, Kuching City terus menguasai permainan sebelum Jerome Etame menggandakan kelebihan pada minit ke-75, hanya seminit selepas dimasukkan bagi menggantikan Safawi.
Dylan Wenzel-Halls kemudian melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah menerusi jaringan ketiga pada penghujung perlawanan.
Keputusan 3-0 itu menyaksikan Kuching City mengutip tujuh mata untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan H, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk melangkah ke pusingan seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kuching City
