PETALING JAYA – Selangor FC mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA meskipun tewas 2-3 kepada Star City FC pada aksi suku akhir kedua di Stadium MBPJ, di sini.
Kekalahan itu tidak menghalang skuad kendalian Kim Pan-gon mara dengan agregat 6-4 selepas mencatat kemenangan 4-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 19 September lalu.
Selangor yang juga juara Piala FA sebanyak lima kali kini meneruskan misi memburu gelaran keenam kejohanan berkenaan.
Pada perlawanan itu, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Zikri Khalili pada minit kesembilan sebelum penyerang import Brazil, Vitor Pernambuco menggandakan kelebihan pada minit ke-35.
Pernambuco menyempurnakan peluang selepas menerima hantaran jauh Syahir Bashah sebelum melepasi perangkap ofsaid dan menewaskan pertahanan lawan untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, Star City bangkit pada babak kedua apabila Moses Atede merapatkan jurang pada minit ke-61 menerusi gerakan hasil sepakan percuma di luar kotak penalti.
Kesilapan Selangor terus dihukum apabila Makrillos Peter gagal mengawal bola di pinggir kotak penalti, sekali gus memberi peluang kepada Pedro Santos Filho menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-74.
Ramon Machado kemudian memastikan Star City meraih kemenangan 3-2 menerusi jaringan pada minit ke-90.
Kemenangan itu menjadi pencapaian bermakna buat Star City apabila berjaya menewaskan Selangor buat kali pertama, namun mereka tetap tersingkir selepas tewas secara agregat.
Selangor kini bakal berdepan cabaran getir menentang Kuching City FC pada separuh akhir.
Kuching City mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Kelantan City dengan agregat 4-1, dengan Ajdin Mujagic meledak hatrik pada aksi kedua, Sabtu lalu.
Pertemuan itu turut mengimbau persaingan kedua-dua pasukan dalam separuh akhir Piala Malaysia musim lalu apabila Kuching City menyingkirkan Selangor dengan agregat 2-1 selepas menang 1-0 pada aksi kedua.
Satu lagi pertemuan separuh akhir Piala FA menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan DPMM FC. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
