JOHOR BAHRU – Pengendali skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan aksi menentang Pakistan sebagai perlawanan penuh drama selepas Young Tigers bangkit menewaskan lawan 3-2 untuk mengesahkan tempat ke final Piala Sultan Johor (SOJC) ke-14, malam tadi.
Kemenangan dalam aksi pusingan liga di Stadium Hoki Taman Daya itu menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod sempurna dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dalam kejohanan bawah 21 tahun (B-21) berkenaan.
Sebelum ini, Young Tigers menewaskan China 3-0 pada Ahad sebelum mengatasi Jepun 4-2 pada Selasa, juga selepas bangkit daripada ketinggalan.
Bagaimanapun, aksi menentang Pakistan bukan mudah apabila skuad negara terpaksa mengejar permainan selepas ketinggalan 1-2 pada satu ketika.
Situasi berubah pada penghujung perlawanan apabila Pakistan kehilangan tiga pemain akibat satu kad merah dan dua kad kuning, sekali gus menyaksikan mereka beraksi dengan lapan pemain berbanding 11 pemain Malaysia.
Nor Saiful mengakui anak buahnya mensia-siakan beberapa peluang terbaik, khususnya pada separuh masa pertama.
“Kami mempunyai banyak peluang pada suku pertama dan kedua, tetapi gagal menyempurnakan banyak peluang gol,” katanya.
Beliau berkata, pemain juga perlu menguruskan tenaga selepas mengharungi perlawanan menentang Jepun sehari sebelumnya, terutama ketika memasuki suku ketiga dan keempat.
“Saya rasa perlawanan hari ini penuh drama.
“Menjelang penghujung permainan, nasib sedikit menyebelahi kami kerana mereka hanya mempunyai lapan pemain di atas padang, manakala kami 11 pemain. Kemudian kami menjaringkan satu lagi gol untuk menang 3-2,” katanya.
Selain keputusan positif itu, Nor Saiful melihat kebangkitan berkenaan sebagai pengalaman berharga buat pemain muda, terutama dalam menghadapi tekanan dan perlawanan fizikal.
Beliau turut melahirkan kegembiraan apabila Malaysia berjaya melangkah ke final selepas tempoh yang disifatkannya agak lama.
“Saya rasa mereka belajar sesuatu daripada perlawanan ini. Perkara yang baik ialah kami sudah layak ke final.
“Sudah lama rasanya kami tidak berada di final SOJC. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain,” katanya.
Mengulas persiapan seterusnya, Nor Saiful berkata, kesemua 18 pemain akan terus digilirkan bagi memastikan setiap pemain mendapat minit permainan, kecuali mereka yang mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan merehatkan pemain utama seperti Adam dan Nabil sekiranya mengalami kecederaan ringan atau ketegangan otot.
Malaysia dijadual menamatkan aksi pusingan liga menentang Kanada pada Jumaat ini sebelum beraksi di final pada Sabtu.
Nor Saiful berkata, keutamaan pasukan ketika ini adalah memastikan pemain berada dalam keadaan cergas bagi menghadapi dua perlawanan yang berlangsung dalam tempoh dua hari berturut-turut.
“Kami mahu bermain di final dan menentang Kanada, tetapi dengan kecederaan yang minimum. Kami juga tidak mahu pemain keletihan kerana perlu bermain dalam perlawanan berturut-turut,” katanya.
Beliau menjangkakan Pakistan atau Jepun berpotensi menjadi lawan Malaysia pada final, bergantung kepada keputusan pertembungan kedua-dua pasukan itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Hokita
