KUALA LUMPUR – Kegagalan seorang penduduk mematuhi peraturan penternakan haiwan peliharaan membawa padah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita lebih 15 ekor anjing yang dipelihara tanpa lesen di sebuah rumah di Jalan Kepong Lama, Kampung Batu Delima semalam.
DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, operasi sitaan tersebut dijalankan selepas menerima aduan berterusan daripada penduduk sekitar yang mendakwa haiwan-haiwan berkenaan sering mengejar orang awam selain menimbulkan bau busuk dan gangguan bunyi bising.
“Anjing-anjing ini dipelihara tanpa kawalan dan tanpa lesen, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan serta ketenteraman komuniti setempat,” katanya.
Lebih mengecewakan, semasa operasi dijalankan, terdapat individu luar yang bertindak memprovokasi dan cuba menghalang petugas DBKL daripada menjalankan tugas.
“Sayang kepada haiwan itu satu nilai kemanusiaan, namun mengabaikan hak jiran untuk hidup aman juga satu bentuk ketidakprihatinan,” katakenyataan itu.
DBKL berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan termasuk membela haiwan tanpa lesen atau menyebabkan gangguan kepada jiran.
Pihak berkuasa itu turut mengingatkan orang ramai bahawa memelihara haiwan peliharaan adalah satu tanggungjawab, bukan sekadar hobi, dan perlu dilakukan mengikut undang-undang bagi memastikan kesejahteraan serta keharmonian hidup berjiran terpelihara. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - DBKL