SEATTLE – Iran menerima kelonggaran daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk memasuki negara itu dua hari lebih awal menjelang aksi terakhir Kumpulan G menentang Mesir pada Piala Dunia 2026.
Keputusan itu dibuat selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS melonggarkan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas skuad Iran, sekali gus memberi lebih masa kepada pasukan membuat persiapan sebelum perlawanan penting di Seattle, Jumaat ini.
Bagaimanapun, pihak berkuasa AS menegaskan kelonggaran itu hanya melibatkan jadual ketibaan, manakala Iran tetap perlu meninggalkan negara itu sejurus tamat perlawanan.
Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Iran mengesahkan skuad kendalian mereka akan meninggalkan kem latihan di Tijuana, Mexico pada Rabu sebelum berlepas ke Seattle.
Kelonggaran itu memberi peluang kepada pemain dan barisan kejurulatihan mendapatkan masa tambahan untuk berehat, menyesuaikan diri dengan lokasi perlawanan serta membuat persiapan selepas berdepan pelbagai cabaran logistik sepanjang kejohanan.
Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Piala Dunia Rumah Putih, Andrew Giuliani, berkata perubahan itu sememangnya telah dirancang sejak awal penganjuran kejohanan.
Katanya, pihaknya mahu menilai kelancaran dua perjalanan terdahulu Iran sebelum membenarkan pasukan itu tiba lebih awal bagi aksi ketiga yang melibatkan perjalanan lebih jauh.
Sebelum ini, pegawai bola sepak Iran menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan perjalanan susulan konflik yang berlaku di rantau itu.
Bagi dua aksi awal di Los Angeles, Iran hanya dibenarkan memasuki AS sehari sebelum perlawanan, selain terpaksa memindahkan kem latihan utama dari Tucson, Arizona ke Mexico. Beberapa pegawai persekutuan dan kakitangan sokongan pasukan turut dilaporkan tidak dibenarkan memasuki AS.
Kapten Iran, Alireza Jahanbakhsh sebelum ini berharap pasukannya diberi layanan sama seperti 47 pasukan lain yang bertanding selepas aksi seri tanpa jaringan menentang Belgium.
Iran kini berdepan perlawanan penentuan menentang Mesir dengan peluang untuk layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 masih terbuka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FFIRI