SEATTLE – Hasrat Qatar untuk mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 berkecai apabila tewas 1-3 kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Lumen Field awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan wakil Asia berkenaan menamatkan saingan dengan hanya satu mata, manakala Bosnia menghidupkan peluang mara sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik selepas mengumpul empat mata.
Bosnia membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi pemain muda, Kerim Alajbegovic sebelum menggandakan kelebihan lima minit kemudian hasil gol sendiri pertahanan Qatar, Sultan Al-Brake ketika cuba menghalang percubaan kapten Bosnia, Edin Dzeko.
Qatar bagaimanapun merapatkan kedudukan menerusi kapten berpengalaman, Hassan Al-Haydos pada minit ke-42 untuk menghidupkan semula harapan pasukannya sebelum rehat.
Memasuki babak kedua, juara Asia itu tampil lebih agresif dengan Akram Afif mengetuai jentera serangan, namun beberapa peluang gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Bosnia akhirnya memastikan kemenangan apabila pemain gantian, Mamic meledak gol ketiga pada minit ke-80 sekali gus menamatkan kebangkitan Qatar.
Keputusan itu menyaksikan Bosnia mengekalkan peluang untuk layak ke pusingan 32 terbaik menerusi kedudukan pasukan tempat ketiga terbaik, manakala Qatar menamatkan kempen Piala Dunia 2026 dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – QFA