VANCOUVER – Switzerland mengesahkan status juara Kumpulan B Piala Dunia 2026 selepas menewaskan tuan rumah bersama, Kanada 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium BC Place, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Murat Yakin mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, sekali gus menempah tiket ke pusingan 16 terbaik selaku juara kumpulan.
Kanada turut mara sebagai naib juara dengan empat mata meskipun Bosnia dan Herzegovina menewaskan Qatar 3-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan B.
Switzerland yang sebelum ini seri 1-1 dengan Qatar dan membelasah Bosnia dan Herzegovina 4-1 lebih banyak menguasai permainan sejak awal, namun gagal memecah kebuntuan pada babak pertama walaupun Breel Embolo memperoleh peluang terbaik yang diselamatkan penjaga gol Kanada, Maxime Crépeau.
Kanada turut mengancam menerusi Ali Ahmed, tetapi percubaannya berjaya dinafikan Gregor Kobel ketika kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.
Switzerland akhirnya berada di depan hanya 40 saat selepas babak kedua bermula apabila Ruben Vargas menyambar bola dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan menewaskan Crépeau untuk gol pembukaan.
Pasukan Eropah itu menggandakan kelebihan pada minit ke-57 menerusi Johan Manzambi selepas menerima hantaran Embolo sebelum menyempurnakan peluang bagi mencatat gol ketiganya pada kejohanan kali ini.
Kanada kembali memberi saingan apabila pemain gantian, Promise David, merapatkan jurang pada minit ke-76 hasil gerakan Jonathan David, namun usaha mereka untuk menyamakan kedudukan gagal meskipun Derek Cornelius hampir menjaringkan gol menerusi tandukan tiga minit kemudian.
Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memastikan Switzerland muncul juara Kumpulan B dengan tujuh mata, manakala Kanada mengiringi mereka ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan dengan empat mata. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFV ASF