ASSEN, Belanda – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli enggan terus dibuai kejayaan selepas melakar sejarah muncul rakyat Malaysia pertama memenangi perlumbaan Moto3 di Grand Prix (GP) Republik Czech minggu lalu.
Sebaliknya, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengalihkan sepenuh tumpuan ke GP Belanda di Litar TT Assen yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini dengan tekad meneruskan momentum cemerlang.
Kemenangan sulung di Brno bukan sahaja menghadiahkan 25 mata maksimum, malah melonjakkan pelumba kelahiran Terengganu itu ke tangga ketujuh keseluruhan kejuaraan dunia Moto3 dengan kutipan 73 mata selepas sembilan pusingan.
Hakim Danish bagaimanapun mengakui kemenangan tersebut kini sudah menjadi sejarah dan dia perlu memulakan cabaran baharu di Assen.
“Saya gembira dengan keputusan di Brno, tetapi kemenangan itu sudah berlalu. Sekarang saya perlu ‘reset’ dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan di Assen.
“Fokus saya kini hanyalah untuk memastikan saya benar-benar bersedia dari semua aspek bagi menghadapi perlumbaan hujung minggu ini,” katanya.
Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, mendapatkan rentak terbaik seawal sesi latihan bebas pertama (FP1) akan menjadi kunci untuk meraih keputusan positif.
“Di Assen saya perlu melakukan perkara yang sama seperti di Brno, iaitu mencari rentak sejak FP1. Saya perlu membina kelajuan seawal mungkin dan memahami karakter litar serta motosikal dengan cepat.
“Assen merupakan litar yang mencabar kerana mempunyai banyak selekoh berkelajuan tinggi dan susun atur yang cukup teknikal. Namun, saya akan cuba memanfaatkan setiap sesi dan memberikan 100 peratus sepanjang hujung minggu,” ujarnya.
Berbekalkan pengalaman berlumba di Assen menerusi saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish percaya kelebihan itu mampu membantunya menyesuaikan diri dengan lebih pantas di litar yang digelar ‘Cathedral of Speed’.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan, penaja serta penyokong yang sentiasa berada di belakangnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan, para penaja khususnya AEON Credit Service Malaysia atas kepercayaan yang diberikan serta semua penyokong yang sentiasa menyokong saya di setiap langkah.”
Selepas mencipta sejarah di Brno, aksi Hakim Danish di Assen kini menjadi tumpuan peminat sukan permotoran tanah air yang berharap bintang muda itu mampu sekali lagi menghadiahkan keputusan membanggakan buat Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing