DOHA – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bakal memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Qatar dari petak ketujuh selepas mempamerkan aksi konsisten pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Lusail, semalam.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa terpantas 2 minit 03.168 saat (s) pada sesi kelayakan kedua (Q2) untuk mengesahkan kedudukan di barisan ketiga bagi perlumbaan esok.
Catatan itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun berkenaan ketinggalan 0.880s daripada pelumba Sepanyol, Maximo Quiles yang meraih petak pertama dengan masa 2:02.288s.
Hakim Danish bagaimanapun mempamerkan peningkatan apabila memperbaiki catatan masa hampir setengah saat berbanding sesi latihan bebas kedua (FP2).
Pada sesi FP2 yang berlangsung dalam keadaan panas dan kering, pelumba negara itu mencatat masa 2:03.626s untuk menduduki tempat ketiga, hanya 0.340s di belakang Quiles.
Prestasi tersebut meneruskan momentum positif Hakim Danish selepas dia menamatkan sesi Practice pada Jumaat di tempat keempat dengan catatan 2:03.500s sekali gus layak secara automatik ke Q2 tanpa perlu melalui Q1.
Dalam sesi Q2 yang berlangsung di bawah lampu limpah, Hakim Danish merekodkan masa terbaik pada percubaan terakhir daripada lima pusingan dilengkapkannya.
Dia turut muncul pelumba terbaik dari Asia dalam sesi kelayakan itu, mengatasi pelumba Indonesia, Veda Pratama yang berada di tempat kelapan serta dua wakil Jepun, Yamanaka dan Zen Mitani.
Lebih menarik, keenam-enam pelumba yang berada di hadapan Hakim Danish merupakan wakil Sepanyol, sekali gus menyaksikan pelumba negara itu muncul peserta terbaik dari luar negara berkenaan.
Quiles menguasai petak pertama dengan kelebihan 0.155s mengatasi rakan senegara, David Almansa yang berada di tempat kedua, manakala Adrian Fernandez melengkapkan barisan hadapan.
Sementara itu, Hakim Danish kini berpeluang memburu satu lagi keputusan cemerlang dalam musim sulung penuhnya apabila perlumbaan GP Qatar dijadual berlangsung esok.
Dengan permulaan dari barisan ketiga, pelumba negara itu perlu memanfaatkan peluang ketika permulaan perlumbaan selain mendapatkan kedudukan sesuai dalam kelompok hadapan untuk mencabar kelompok lima terbaik. – DETIK MALAYSIA
