KUALA LUMPUR – Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) merakamkan penghargaan kepada Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff atas keprihatinan baginda terhadap nasib keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan tragedi banjir besar di kawasan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.
Dalam kenyataan media hari ini, Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata, pihaknya amat menghargai kesudian baginda menerima menghadap wakil pertubuhan itu bersama ahli keluarga mangsa yang terkesan.
Pertemuan itu memberi peluang kepada keluarga terbabit menyampaikan sendiri perkembangan, kesulitan, rintihan serta harapan mereka selepas 77 hari berdepan ketidakpastian.
Menurut MASFIH, dalam sesi berkenaan pihaknya turut memberikan taklimat mengenai status 54 rakyat Malaysia yang masih hilang, terdiri daripada 42 individu menyertai ziarah keagamaan ke Gunung Kailash dan 12 lagi mengikuti aktiviti pendakian.
“Taklimat turut merangkumi perkembangan operasi mencari dan menyelamat serta kerja-kerja pemulihan, kesan terhadap keluarga, keperluan kebajikan dan bantuan kewangan, cabaran perundangan serta dokumentasi,” menurut kenyataan itu.
Antara perkara lain yang dibentangkan termasuk perlindungan kewangan, bayaran balik pinjaman serta cadangan mengadakan lawatan kemanusiaan ke lokasi berkaitan di Nepal dan Tibet.
MASFIH turut berharap keprihatinan Raja Puan Muda Kedah itu menjadi inspirasi kepada institusi diraja di negeri lain, kerajaan, organisasi korporat dan masyarakat sivil untuk tampil membantu keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
Dalam perkembangan sama, MASFIH menegaskan kesemua 54 rakyat Malaysia terbabit masih berstatus hilang sehingga kini.
Bagaimanapun, beberapa perkembangan positif dicapai termasuk kelulusan bantuan khas sebanyak RM10,000 secara sekali bayar kepada setiap keluarga.
Namun, masih terdapat beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berkaitan status kehilangan, implikasi perundangan, dokumentasi, pengurusan harta dan tanggungan kewangan.
MASFIH berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan suara serta kepentingan keluarga terjejas melalui saluran sewajarnya tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Tragedi ini bukan isu kaum atau agama, sebaliknya satu isu kemanusiaan yang melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Selagi belum ada kepastian, selagi itulah harapan akan terus dipelihara,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kedah Royal Family
