KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyerahkan semua laporan rasmi dan bukti perlawanan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan insiden kekecohan membabitkan pemain serta pegawai Kuching City FC dan Selangor FC.
MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya selesai mengumpulkan semua laporan, bukti video dan dokumentasi rasmi berhubung insiden pergaduhan di tepi padang yang berlaku pada penghujung aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu.
Badan pengelola liga itu turut menyerahkan hasil siasatan yang dikumpulkan daripada Pesuruhjaya Perlawanan, Penyelaras Perlawanan, pegawai perlawanan, penilai pengadil serta Ketua Pegawai Venue kepada FAM untuk tindakan lanjut.
“MFL sudah menyerahkan semua maklumat dan bukti berkaitan kepada FAM untuk siasatan menyeluruh serta tindakan susulan melalui Jawatankuasa Tatatertib FAM, selaras dengan bidang kuasa badan induk bola sepak negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, MFL turut menjalankan penelitian secara berasingan bagi mempertimbangkan tindakan tambahan atau hukuman mengikut kerangka peraturan serta garis panduan pertandingan kendaliannya.
MFL menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan tidak bersukan atau kekecohan di kawasan tepi padang.
Insiden yang tercetus pada penghujung masa tambahan itu menyaksikan pemain Selangor, Eduardo Sosa dan jurulatih kecergasan pasukan, Joel Dones dilayangkan kad merah.
“MFL memandang serius insiden ini dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terbabit mencetuskan kekacauan atau berkelakuan tidak wajar sehingga mengetepikan prinsip asas kesukanan,” katanya.
Penyerahan bukti berkenaan membolehkan FAM meneliti insiden itu sebelum menentukan tindakan tatatertib sewajarnya terhadap pihak yang terbabit. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
