KUALA LUMPUR – Bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim tampil mengkritik ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon susulan kegagalan pasukan itu melangkah ke final Piala FA selepas tersingkir di tangan Kuching City FC.
Menerusi hantaran di Instagram, Safiq mempersoalkan pendekatan taktikal Pan-gon selain menggesa pengendali dari Korea Selatan itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan skuad Gergasi Merah.
Kegagalan Selangor itu menyaksikan mereka tersingkir dengan agregat 2-2 sebelum jaringan sendiri pemain gantian, Mukhairi Ajmal pada masa tambahan memusnahkan peluang pasukan berkenaan untuk mara ke final.
Menurut Safiq, Pan-gon perlu melakukan penilaian semula terhadap pendekatan pasukannya, terutama corak permainan yang dilihat lebih banyak bertahan ketika berdepan Kuching City.
“Kegagalan Selangor FC mara ke final Piala FA selepas tewas kepada Kuching City FC sepatutnya menjadi perkara yang perlu Kim Pan-gon renungkan dan nilai semula.
“Sebagai ketua jurulatih, beliau sememangnya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku kepada pasukannya. Jika melihat cara Selangor bermain, mereka kebanyakannya bertahan dan pendekatan taktikal digunakan sememangnya boleh dipersoalkan,” katanya.
Bekas pemain tengah kebangsaan itu turut membangkitkan isu kecenderungan pihak tertentu dalam pasukan berkenaan menyalahkan faktor luar setiap kali berdepan kegagalan.
Katanya, isu pengadilan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sering dibangkitkan sehingga menjadi perkara berulang setiap musim.
“Setiap kali berlaku masalah atau kegagalan, isu pengadilan, FAM dan MFL sering dibangkitkan. Perkara sama nampaknya berulang setiap musim.
“Sampai bila mahu terus mencari kesalahan orang lain? Adakah tiada kelemahan dalam pasukan sendiri yang perlu diakui? Dalam bola sepak, kita perlu berani mengakui jika pasukan sendiri bermain dengan buruk,” katanya.
Safiq turut menyentuh insiden kekecohan di tepi padang yang mencemari aksi separuh akhir kedua itu, termasuk tindakan Nazmi Faiz Mansor yang berdepan kontroversi susulan konfrontasi berhampiran bangku simpanan pasukan lawan.
Insiden berkenaan turut menyaksikan pemain Selangor, Eduardo Sosa dan jurulatih kecergasan, Joel Dones dilayangkan kad merah.
Selain itu, Safiq mempersoalkan pendekatan Pan-gon ketika berhadapan media selepas perlawanan berbanding pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz.
Menurutnya, Xisco lebih memberikan tumpuan kepada analisis perlawanan, prestasi pasukan dan perkara berkaitan bola sepak berbanding isu luar padang.
“Kim Pan-gon kerap muncul di media untuk bercakap mengenai keputusan pengadilan, mengkritik pihak lain dan membangkitkan isu luar padang.
“Jika dibandingkan dengan Xisco Muñoz di JDT, pendekatannya agak berbeza. Xisco lebih memberikan tumpuan kepada analisis perlawanan, prestasi pasukan dan perkara berkaitan bola sepak dalam temu bual selepas perlawanan,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Safiq menegaskan penyokong Selangor berhak mendapat kejayaan yang dibuktikan menerusi kerja keras serta keputusan di atas padang, bukannya sekadar janji dan alasan setiap kali sasaran tidak tercapai. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
