KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik bagi mencipta kejutan ketika berdepan China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Zhaoqing, Khamis ini.
Beliau mengakui skuad negara berdepan cabaran besar memandangkan China memiliki kedudukan ranking lebih baik, namun tetap mengharapkan keputusan positif daripada perlawanan itu.
“Kita tahu China berada pada ranking lebih baik berbanding pasukan kebangsaan kita, tetapi sebagai jurulatih, kita mahu mendapatkan keputusan positif.
“Setiap jurulatih mahu memenangi setiap perlawanan dan kita mahu mencipta sesuatu yang istimewa ketika menentang China. Kita tahu perbezaan kekuatan, tetapi saya mengharapkan pemain memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Cheng Hoe turut mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah keupayaan China meskipun pasukan itu tewas dalam tiga perlawanan terakhir.
Katanya, skuad kendalian Shao Jiayi itu melakukan rombakan besar dengan membawa masuk kira-kira 16 pemain baharu selain menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa.
“Kita tahu mereka tewas dalam tiga perlawanan terakhir, tetapi kali ini jurulatih mereka melakukan perubahan besar dengan kira-kira 16 pertukaran pemain.
“Mereka membawa masuk pemain yang mempunyai pengalaman antarabangsa selain beberapa muka baharu. Bukan mudah untuk mendapatkan keputusan kerana mereka tetap mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Cheng Hoe mengesahkan pemain baharu, Richard Chin, berpeluang diturunkan selepas menunjukkan kemampuan dalam sesi latihan.
Bagaimanapun, katanya, barisan kejurulatihan masih menilai tahap kesesuaian pemain itu dengan corak taktikal pasukan sebelum membuat keputusan.
“Kami akan memberinya peluang bermain di bahagian serangan, tetapi berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan secepat mungkin kerana ini kali pertama dia bersama skuad.
“Kami tahu kemampuannya dan menggunakan tempoh dua hingga tiga hari ini untuk menilainya dengan lebih mendalam,” katanya.
Seorang lagi pemain baharu, Haziq Kutty turut berpeluang membuat penampilan sulung bersama skuad senior kebangsaan.
Cheng Hoe berkata, semua pemain yang dibawa bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang China dan Yemen akan diberikan peluang beraksi sebagai persiapan menghadapi tugasan akan datang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
