SHAH ALAM – Selangor FC mengambil tindakan susulan berhubung insiden kekecohan di tepi padang yang tercetus ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC Ahad lalu.
Kelab itu mengesahkan telah mengemukakan laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan insiden berkenaan disiasat secara menyeluruh.
Dalam satu kenyataan, Selangor FC menegaskan komitmen untuk mempertahankan hak serta keselamatan pemain dan pegawai kelab susulan insiden yang mencetuskan perhatian ramai.
“Kelab ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan termasuk penyokong bahawa kami komited untuk mempertahankan hak dan keselamatan pemain serta pegawai kami,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Selangor FC menegaskan pihaknya akan terus berpegang kepada prinsip profesionalisme dan semangat kesukanan dalam bola sepak.
Kelab itu turut berjanji memberikan kerjasama penuh kepada FAM bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan dibuat demi kepentingan bersama dalam memelihara integriti bola sepak Malaysia.
Terdahulu, aksi separuh akhir kedua itu menyaksikan Selangor FC tersingkir selepas Kuching City FC memperoleh kemenangan menerusi jaringan sendiri pada minit ke-118 masa tambahan.
Perlawanan berkenaan turut dicemari insiden pergaduhan di kawasan tepi padang sehingga menyaksikan beberapa layangan kad merah.
Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dilaporkan telah menyerahkan bukti berkaitan insiden berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC
