PUTRAJAYA – Perintis Futsal Academy komited memperkasakan pembangunan sukan futsal negara menerusi pendekatan inovasi, keusahawanan dan pembangunan bakat secara lebih menyeluruh.
Komitmen itu dizahirkan pemilik akademi berkenaan, Muhammad Khalis Othman selepas muncul juara pertandingan Sports Product Pitching Challenge 2026 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini pada Khamis.
Beliau memenangi pertandingan itu menerusi idea bertajuk ‘Futsal Academy Centre’ yang mencadangkan penubuhan sebuah pusat pembangunan futsal bagi membantu komuniti dan memperkukuh ekosistem sukan berkenaan.
Cadangan itu berteraskan tiga elemen utama iaitu pembangunan akar umbi secara berstruktur membabitkan pemain, jurulatih dan pasukan, sistem pendidikan yang mengintegrasikan sukan dengan pembelajaran serta sokongan pelbagai pihak.
Menurut Muhammad Khalis, pembangunan futsal memerlukan pendekatan berterusan dan kerjasama erat antara akademi sukan, institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti.
Beliau berkata, usaha memperkasa sukan itu bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan bakat dan prestasi atlet, malah turut merangkumi aspek pengurusan, keusahawanan, inovasi serta pengkomersialan industri sukan.

Antara potensi yang boleh diterokai termasuk penggunaan teknologi dalam latihan, pembangunan modul kejurulatihan, penghasilan produk sukan, penganjuran program pembangunan bakat dan peluasan kerjasama strategik.
“Kita mampu menghidupkan semula sukan ini sekiranya setiap perkara, walaupun kecil dan dianggap remeh, diberikan perhatian.
“Impak sukan ini bukan sahaja tertumpu kepada futsal, malah berpotensi melahirkan ramai bakat hebat untuk bola sepak Malaysia.
“Namun, semua pihak berkepentingan dalam sukan ini perlu memberikan komitmen sepenuhnya dan meletakkan matlamat bersama melebihi kepentingan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Perintis Futsal Academy berharap kejayaan berkenaan dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi, mencetuskan idea baharu serta menyumbang kepada pembangunan industri futsal yang lebih kompetitif dan berdaya saing di Malaysia.
Pertandingan Sports Product Pitching Challenge 2026 turut menghimpunkan peserta yang membentangkan pelbagai idea dan inovasi dalam bidang keusahawanan serta pengkomersialan sukan, termasuk teknologi sukan, kecergasan, rehabilitasi dan latihan. – DETIK MALAYSIA
