Oleh Bazli Razak
TANJUNG MALIM – Seramai 10 kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menunaikan ibadah umrah menerusi tajaan Rafulin Holdings Sdn. Bhd. bagi kali kedua, sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan warga universiti, khususnya golongan pelaksana.
Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata peluang berkenaan merupakan satu anugerah yang tidak disangka-sangka apabila Allah SWT menggerakkan hati pihak penaja untuk berkongsi rezeki dengan warga universiti yang memerlukan.
Beliau berkata kepimpinan universiti sentiasa berusaha memahami kehidupan dan keperluan setiap warga kerja agar tiada golongan yang terpinggir daripada perhatian serta pembelaan organisasi.
“Seorang pemimpin perlu sentiasa meletakkan diri dalam keadaan warga yang dipimpinnya, memahami kehidupan mereka serta memastikan kebajikan setiap lapisan warga universiti mendapat perhatian sewajarnya,” katanya ketika menyantuni peserta tajaan berkenaan di Bilik Diraja Muzium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.
Md Amin turut mengingatkan para peserta supaya memanfaatkan peluang istimewa itu dengan melaksanakan ibadah sebaik-baiknya serta mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan kejayaan seluruh warga UPSI.
Sementara itu, salah seorang penerima tajaan, Pembantu Khidmat Am Bahagian Pengangkutan UPSI (BTRANS) Kamarul Baharin Hj Ahmad, 55, menyifatkan peluang berkenaan sebagai penghargaan bermakna terhadap sumbangan kakitangan di peringkat pelaksana.
“Pemilihan ini amat bermakna buat kami sebagai warga pelaksana. Ia membuktikan bahawa sumbangan dan kebajikan setiap warga UPSI sentiasa mendapat perhatian serta penghargaan pihak universiti,” katanya.
Peluang menunaikan ibadah umrah itu turut dinikmati pekerja pembersihan Bangunan Canselori UPSI, Nithyah Nur Hidayah Abdullah, 35, yang telah sembilan tahun memeluk Islam, sekali gus menjadi pengalaman rohani bermakna dalam perjalanan kehidupannya sebagai seorang Muslim.
Sementara itu, Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata, WEZAS bertanggungjawab menyelaras urusan tajaan termasuk dokumentasi perjalanan, permohonan visa, logistik dan kursus bimbingan ibadah umrah bagi memastikan kelancaran perjalanan peserta.
“Kerjasama antara UPSI dan pihak korporat itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk bersama-sama menyokong agenda kebajikan, wakaf dan pembangunan ummah,” katanya.
Tajaan kali kedua oleh Rafulin Holdings itu meneruskan inisiatif sama pada 2024 yang turut memberi manfaat kepada 10 warga UPSI dan dua urus setia.
Seramai 12 warga UPSI, terdiri daripada 10 penerima tajaan dan dua urus setia itu dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 18 hingga 29 November ini menerusi perjalanan dari Madinah ke Makkah. – DETIK MALAYSIA
