KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Program Wira Anti Rasuah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane, semalam.
Program yang menghimpunkan kira-kira 1,000 murid sekolah rendah itu bertujuan memupuk nilai amanah, jujur dan menolak amalan mengambil hak orang lain dalam kehidupan seharian sejak usia muda.
Selain memberi kesedaran mengenai bahaya jenayah rasuah, program berkenaan turut memperkenalkan pelantikan dua Duta Wira Anti Rasuah SK Cochrane, iaitu Abdul Aziz Khair Ammar dan Hasnanin Aish Faiha Hasmi.
Pelantikan itu diharap dapat menjadi contoh kepada pelajar lain agar menanam nilai integriti dan antirasuah dalam diri masing-masing.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zakkuan Talib menyeru warga pendidik dan ibu bapa untuk terus memberikan bimbingan serta teladan kepada generasi muda agar menjadi rakyat yang berjiwa bersih dan berintegriti.
“Bimbingan berterusan amat penting untuk melahirkan generasi pelapis bangsa Malaysia yang bebas daripada jenayah rasuah,” katanya.
Program selama dua jam itu turut menampilkan adiwira Wira Anti Rasuah, “Kapten MACC”, yang berjaya menarik perhatian murid melalui pendekatan interaktif bagi meningkatkan kefahaman mereka tentang rasuah dan kepentingan menjauhinya.
Sementara itu, Guru Besar SK Cochrane, Ahmad Badri Mohamad, merakamkan penghargaan kepada SPRM Kuala Lumpur kerana memilih sekolah berkenaan sebagai lokasi penganjuran program tahun ini.
Beliau berkata, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan terus menyokong usaha pencegahan rasuah agar institusi pendidikan negara kekal bersih daripada unsur tidak bermoral itu.
Program berkenaan mencerminkan komitmen SK Cochrane dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam memperkukuh nilai integriti di peringkat sekolah dan membentuk masyarakat yang bebas rasuah. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - SPRM