KUALA LUMPUR – Yaman bakal turun menentang Malaysia dengan misi menebus kekecewaan selepas tewas 1-3 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di China, kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan Yaman gagal mempertahankan kelebihan awal selepas mendahului perlawanan menerusi jaringan Abdul Majeed Sabarah pada minit ke-21.
Bagaimanapun, Bahrain bangkit menyamakan kedudukan menerusi Abdulla Yusuf Helal pada minit ke-35 sebelum Kumail Al Aswad meletakkan pasukannya di hadapan menerusi jaringan pada masa kecederaan babak pertama.
Bahrain terus mengukuhkan kedudukan apabila Mohamed Marhoon meledak gol ketiga pada minit ke-72 sekali gus memastikan kemenangan 3-1 sehingga tamat perlawanan.
Yaman sebelum itu mengharapkan kemenangan kedua sepanjang sejarah pertemuan dengan Bahrain, namun gagal menyekat kebangkitan pasukan kendalian Felix Sanchez.
Kekalahan itu pastinya menjadi peringatan buat Yaman untuk memperkemaskan benteng pertahanan menjelang aksi persahabatan menentang Malaysia, Selasa ini.
Perlawanan menentang Harimau Malaya itu juga menjadi peluang buat Yaman untuk bangkit dan menutup kempen jendela antarabangsa FIFA November dengan keputusan positif di China. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bahrain FA
