Terengganu(jersi hitam) sewaktu menafikan ATM berkeputusan 31 berbalas 7 sekaligus menamatkan aksi peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan(National 7s 2026) yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu.
KUALA NERUS – Empat pasukan terbaik kategori Terbuka Lelaki Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) kini sah dikenali apabila Terengganu, Selangor, Johor dan Perak melengkapkan kemaraan ke separuh akhir selepas aksi suku akhir berakhir di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu, hari ini.
Terengganu tampil meyakinkan dengan mencatat dua kemenangan penting pada hari kedua kejohanan. Skuad tuan rumah terlebih dahulu menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan 31-7 ke atas ATM sebelum meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan PDRM pada aksi suku akhir.
Kemenangan itu sekali gus memastikan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah serta mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik bagi meneruskan cabaran memburu gelaran kebangsaan di laman sendiri.

Aksi separuh akhir dijangka menjadi tumpuan apabila skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Hafiizh Zainal bakal berdepan Selangor yang turut menunjukkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan berlangsung.
Selangor hadir ke saingan empat terbaik dengan reputasi tersendiri selepas mencipta kejutan menewaskan penyandang juara, Kelantan, pada peringkat kumpulan sebelum meneruskan kemaraan dengan kemenangan 15-0 ke atas Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam aksi suku akhir.
Menurut Hafiizh, kemenangan Selangor ke atas juara bertahan membuktikan pasukan itu memiliki kekuatan tersendiri dan tidak boleh dipandang mudah.
“Kemenangan ke atas Kelantan sudah tentu memberikan keyakinan yang tinggi kepada mereka. Kami perlu lebih berdisiplin dan mengurangkan kesilapan komunikasi dalam pasukan untuk menghadapi cabaran separuh akhir nanti,” katanya.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, naib juara edisi lalu, Johor mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Sarawak 24-5.
Perak turut menyertai kelompok empat terbaik apabila mencatat kemenangan bergaya 26-5 ke atas Kedah untuk melengkapkan senarai pasukan yang akan bersaing merebut dua slot ke final.
Secara keseluruhan, sebanyak 39 perlawanan berjaya dilangsungkan pada hari kedua kejohanan membabitkan semua kategori yang dipertandingkan termasuk aksi suku akhir Terbuka Lelaki.
Bagi kategori Terbuka Wanita, empat pasukan terbaik turut mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada hari terakhir kejohanan.
National 7s 2026 yang berlangsung selama tiga hari akan melabuhkan tirainya esok dengan aksi final bagi semua kategori yang dipertandingkan.

SENARAI PASUKAN MARA KE SEPARUH AKHIR:
SEPARUH AKHIR TERBUKA LELAKI
Selangor vs Terengganu
Perak vs Johor
SEPARUH AKHIR TERBUKA WANITA
Terengganu vs Melaka
PDRM vs Johor
SEPARUH AKHIR BAWAH 21 TAHUN LELAKI
Negeri Sembilan vs Selangor
W.P Kuala Lumpur vs Johor
SEPARUH AKHIR BAWAH 21 TAHUN WANITA
Johor vs Terengganu
Kedah vs Selangor
