GUANGDONG – Harimau Malaya gagal memulakan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 dengan keputusan positif apabila tewas 0-2 kepada China dalam perlawanan di Zhaoqing, Guangdong, malam tadi.
Dua gol awal tuan rumah dalam tempoh 20 minit pertama menyukarkan misi skuad kendalian ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe untuk bangkit dalam aksi berkenaan.
China yang menghuni ranking ke-96 dunia membuka tirai jaringan menerusi tandukan Wang Yudong pada minit ke-10 selepas memanfaatkan tekanan awal ke atas benteng pertahanan Malaysia.
Penyerang Beijing Guoan, Zhang Yuning kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-19 menerusi penyudah hasil hantaran jauh dari kawasan sendiri.
Bersambung babak kedua, Tan melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan dua pemain yang membuat penampilan sulung, Richard Chin dan Haziq Kutty bagi memperkukuh bahagian tengah.
Malaysia hampir merapatkan kedudukan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-77, namun jaringan penyerang itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku ofsaid.
Keadaan Harimau Malaya bertambah sukar apabila Tierney dilayangkan kad kuning kedua pada penghujung perlawanan sekali gus memaksa Malaysia menghabiskan baki aksi dengan 10 pemain.
Keputusan 0-2 kekal sehingga wisel penamat dan Malaysia kini perlu segera bangkit menjelang aksi persahabatan kedua menentang Yemen pada 17 November ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
