KUALA LUMPUR – Malaysia menghidupkan peluang dalam kempen kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) apabila menewaskan Singapura 2-1 menerusi jaringan dramatik pada penghujung perlawanan, semalam.
Gol minit ke-88 Fahim Akmal memastikan skuad kendalian Shukor Adan meraih kemenangan pertama dalam aksi kedua peringkat kumpulan itu selepas bermula dengan kekalahan kepada Palestin.
Malaysia memulakan perlawanan dengan garang apabila Aniq Thaqif hampir membuka jaringan pada minit ke-12, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Singapura, Ilhan Hady.
Usaha skuad negara akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-33 menerusi Syaifullah Mahruzi yang menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kiri untuk meletakkan Malaysia di depan.
Bagaimanapun, Singapura berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Izzan Rifqi sebelum tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari gol kemenangan dengan Malaysia memperoleh beberapa peluang terbaik.
Pada minit ke-69, dua percubaan berturut-turut Malaysia berjaya diselamatkan Ilhan Hady sebelum rembatan kencang Syaifullah empat minit kemudian terkena palang gol ketika penjaga gol sudah tertewas.
Ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Fahim muncul wira apabila pantas menyambar bola muntah dalam keadaan kelam-kabut di depan gawang Singapura untuk meledak gol kemenangan pada minit ke-88.
Kemenangan 2-1 itu menyuntik semula keyakinan skuad muda negara dalam usaha memburu slot ke Piala Asia B-17. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
