SHAH ALAM – Sebuah surau yang disyaki menjalankan aktiviti solat Jumaat tanpa kebenaran pihak berkuasa agama diserbu dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Kampung Baru Subang baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut melibatkan seramai 123 individu diambil tindakan oleh JAIS.
Bagaimanapun, pemeriksaan imigresen terhadap individu di surau berkenaan mendapati tiada kesalahan imigresen dikesan.
JIM Selangor dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan yang turut dijalankan secara berasingan di sekitar daerah Ampang dan Hulu Langat.
Menurut kenyataan itu, operasi bermula jam 11 pagi hingga selesai dengan kekuatan 18 pegawai JIM Selangor menerusi pelaksanaan Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Kutip.
“Hasil keseluruhan operasi, seramai 38 individu diperiksa dan 34 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, satu saman saksi dikeluarkan dan seorang majikan turut dikenakan tindakan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Dalam operasi di sekitar Ampang, seramai 10 warga asing ditahan hasil pemeriksaan di beberapa premis makanan dan kawasan perniagaan.
“Individu ditahan terdiri daripada seorang warga Indonesia, seorang warga India dan lapan warga Myanmar yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pemeriksaan di sekitar daerah Hulu Langat membawa kepada penahanan seorang warga Poland atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.
JIM Selangor memaklumkan, kesalahan yang dikenal pasti secara keseluruhan melibatkan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Majikan dan pemilik premis diingatkan agar memastikan pekerja warga asing mempunyai dokumen perjalanan serta pas yang sah dan mematuhi syarat ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
