KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui anak buahnya terlalu menghormati China pada separuh masa pertama sehingga gagal mempamerkan permainan sebenar sebelum tewas 0-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Zhaoqing, malam Sabtu.
Tan berkata, dua gol awal yang dibolosi dalam tempoh 20 minit pertama menyukarkan usaha skuad negara untuk bangkit, sekali gus memaksa barisan kejurulatihan melakukan perubahan taktikal.
China yang berada di ranking ke-96 dunia mendahului menerusi tandukan Wang Yudong pada minit ke-10 sebelum kapten pasukan, Zhang Yuning menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya kecewa dengan keputusan ini. Dua gol awal itu benar-benar menyukarkan kami untuk mengatasi keadaan.
“Dalam bola sepak, amat sukar apabila dibolosi dua gol terlalu awal kerana banyak perkara perlu diubah dalam pasukan. Saya fikir pada separuh masa pertama, kami terlalu menghormati pasukan China,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Tan berkata, beliau melakukan perubahan ketika rehat dengan memasukkan Richard Chin dan Haziq Kutty bagi meningkatkan kekuatan serangan serta mengubah formasi pasukan.
Menurutnya, Harimau Malaya mempamerkan aksi lebih baik pada separuh masa kedua apabila berjaya menguasai permainan, mengedarkan bola dengan lebih kemas dan mencipta beberapa peluang.
Bagaimanapun, peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan untuk merapatkan kedudukan, termasuk jaringan Fergus Tierney pada minit ke-77 yang dibatalkan kerana ofsaid.
“Kami bermain terlalu bertahan pada separuh masa pertama, jadi kami mengubah formasi kerana memerlukan gol.
“Pada separuh masa kedua, permainan lebih baik dan kami berjaya menguasai serta mengedarkan bola dengan baik selain mencipta lebih banyak peluang. Apabila ketinggalan 0-2, kami memerlukan gol awal pada separuh masa kedua untuk meningkatkan keyakinan memburu gol penyamaan, tetapi malangnya gagal memanfaatkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Tan turut mengingatkan pemain supaya mengawal emosi ketika berdepan situasi tegang selepas insiden kekecohan di tepi padang pada separuh masa pertama.
Beliau menyifatkan intensiti perlawanan itu sebagai perkara biasa dalam aksi antarabangsa, namun menegaskan pemain perlu bijak mengawal perasaan supaya tidak menjejaskan tumpuan.
“Intensiti perlawanan itu perkara biasa kerana kedua-dua pasukan begitu mahu menang dan menjaringkan gol.
“Bagaimanapun, seperti yang sering saya ingatkan kepada pemain, mereka perlu mengawal emosi. Apabila hilang kawalan dalam situasi seperti ini, mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada permainan,” katanya.
Harimau Malaya akan meneruskan aksi dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA November menentang Yemen pada Selasa ini.
Tan berharap pengalaman berdepan China dapat memberi manfaat kepada pemain, khususnya muka baharu dan pemain muda, sebagai persediaan menghadapi perlawanan seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
