SHAH ALAM – Isu Palestin bukan sekadar membabitkan perebutan wilayah, sebaliknya mencerminkan keadaan umat Islam dari sudut akidah, keadilan, maruah, kemanusiaan dan masa depan ummah.
Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penderitaan rakyat Palestin turut menguji sejauh mana umat Islam menghayati makna persaudaraan, amanah dan tanggungjawab bersama.
Menurut beliau, kelemahan umat Islam dalam membela Palestin antara lain berpunca daripada perpecahan politik, kelemahan kepimpinan, ekonomi serta penguasaan ilmu dan teknologi.
Katanya, kepentingan negara yang mengatasi kepentingan bersama, persaingan kuasa dan ketiadaan pendirian strategik yang konsisten turut melemahkan kesepakatan umat Islam.
“Umat Islam memerlukan kepimpinan yang mempunyai visi, integriti dan keberanian moral bagi mengatasi kepentingan kelompok serta persaingan politik sempit,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kuliah khas bertajuk Palestin dan Masa Depan Umat di Surau Al Mahdi, Taman Bukit Subang pada 15 November lalu.
Mohd Azmi berkata, negara-negara Islam perlu mempunyai agenda bersama dalam isu keselamatan, ekonomi, pendidikan dan diplomasi, selain memperkasakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan mekanisme pelaksanaan keputusan yang lebih berkesan.
Menurut beliau, kesatuan ummah juga perlu dibina berasaskan prinsip tauhid, keadilan, ukhuwah dan maslahat tanpa menjadikan perbezaan mazhab serta politik sebagai alasan untuk bermusuhan.
Katanya, kebangkitan umat Islam memerlukan pembinaan kekuatan dalam tujuh bidang utama iaitu ilmu, ekonomi, teknologi, politik, ketenteraan dan keselamatan, media serta moral.
“Umat yang tidak menguasai ilmu, ekonomi, teknologi dan institusi akan terus bergantung kepada kekuatan pihak lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia mempunyai peluang memainkan peranan lebih strategik dalam memperjuangkan Palestin menerusi pendirian diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan ASEAN.
Usaha itu turut merangkumi pengukuhan bantuan kemanusiaan, program pendidikan dan pemulihan untuk kanak-kanak Palestin serta pembinaan semula Gaza dengan penglibatan rakyat Palestin sendiri.
Beliau berkata, perjuangan Palestin juga perlu dijadikan agenda pendidikan generasi muda supaya mereka memahami sejarah, undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan diplomasi.
Jelasnya, solidariti terhadap Palestin tidak seharusnya terhenti melalui perkongsian gambar di media sosial, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelidikan, dasar, teknologi dan gerakan perubahan.
“Palestin mesti kekal dalam agenda pemikiran, pendidikan, diplomasi, ekonomi dan kesatuan ummah.
“Kita tidak mahu Palestin menjadi simbol kelemahan umat selama-lamanya. Kita mahu Palestin menjadi titik kebangkitan ummah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
