KUALA LUMPUR – Sebuah kedai besi buruk di Seksyen 92, Jalan Emas, Jalan Sungai Besi di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Kebakaran membabitkan premis berkeluasan 30 x 20 kaki persegi itu melibatkan barangan kitar semula.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada pukul 12.31 tengah malam sebelum menggerakkan pasukan bomba ke lokasi.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.44 tengah malam.
Operasi pemadaman melibatkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah lori tangki air dengan kekuatan 25 anggota serta bantuan lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Komander Operasi, PKPgB TS. Mohd Azizi Abdullah berkata, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman sejurus tiba di lokasi.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.50 pagi sebelum operasi ditamatkan pada pukul 3 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. – DETIK MALAYSIA
