KUALA LUMPUR – Keputusan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan asas kelulusan kerajaan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pengurangan hampir 99.98 peratus itu bersama pembaharuan pajakan selama 99 tahun merupakan keputusan luar biasa yang memerlukan penjelasan menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan formula penilaian, peruntukan undang-undang serta kriteria kelulusan bagi memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kesaksamaan dalam pentadbiran tanah dipelihara.
“Pengurangan premium tidak semestinya membuktikan berlakunya penyelewengan, khususnya apabila syarat penggunaan tanah berubah.
“Bagaimanapun, keputusan yang melibatkan konsesi begitu besar mesti disertai justifikasi yang jelas, konsisten dan boleh diaudit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jais berkata, pihaknya turut mempersoalkan sama ada kedudukan kewangan KLSCAH menjadi antara justifikasi utama perubahan kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi menerusi proses penyerahan dan pemberimilikan semula (Surrender and Re-alienation).
Berdasarkan laporan kewangan KLSCAH, pertubuhan itu mencatatkan lebihan RM886,930 pada 2023 sebelum mengalami defisit RM16,495 pada 2024.
Laporan media turut menyebut kekurangan operasi tahunan sekitar RM400,000.
Sehubungan itu, MCW mengemukakan lima persoalan utama termasuk formula penilaian dan peruntukan undang-undang yang membolehkan premium dikurangkan kepada RM1,000 serta sejauh mana kedudukan kewangan KLSCAH mempengaruhi keputusan kelulusan.
Selain itu, pihaknya mahu mengetahui sama ada proses penilaian bebas dan tatacara kelulusan tanah dipatuhi sepenuhnya serta sama ada kemudahan serupa turut tersedia kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi kebajikan dan pertubuhan warisan lain.
MCW turut meminta penjelasan mengenai mekanisme bagi memastikan tanah berkenaan tidak dieksploitasi untuk keuntungan komersial pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Jais berkata, pihaknya menghormati sumbangan sejarah KLSCAH dan menyokong usaha pemeliharaan warisan negara.
“Namun, kepentingan warisan tidak boleh mengetepikan keperluan ketelusan dalam pengurusan aset tanah,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa pihak berkuasa menerbitkan asas pengiraan premium serta kriteria kelulusan bagi mengelakkan persepsi berlakunya layanan istimewa.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan persoalan kaum, sebaliknya membabitkan integriti, keadilan dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara. – DETIK MALAYSIA
