JOHOR BAHRU – Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry mengakui skuad Harimau Selatan tidak gentar berdepan sorakan penyokong tuan rumah yang dijangka mewujudkan suasana ‘panas’ menjelang aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup) 2026/2027 menentang Công An Hà Nội FC.
Sebaliknya, pemain pertahanan berpengalaman dari Australia itu menyifatkan suasana sedemikian mampu membangkitkan semangat pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan Kumpulan B, hari ini.
Menurut Lowry, JDT menjangkakan cabaran sukar daripada pasukan tuan rumah yang memiliki kualiti serangan selain berpengalaman bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia.
“Kami teruja untuk kembali beraksi dalam pertandingan ini. Kami menjangkakan perlawanan sukar menentang pasukan yang sangat bagus dalam transisi serangan dan mempunyai ramai pemain berkualiti di bahagian serangan.
“Kami tahu mereka pasukan yang bagus dan turut bersaing dalam Liga Juara-Juara. Jadi, kami sedar cabaran yang menanti, tetapi akan memberikan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata ke Johor,” katanya.
Mengulas mengenai suasana di Vietnam, Lowry berkata, pengalaman berdepan penyokong tuan rumah ketika menentang Nam Định FC musim lalu membuktikan sokongan padu penyokong tempatan mampu mewujudkan tekanan kepada pasukan pelawat.
Bagaimanapun, situasi itu bukan sesuatu yang asing buat pemain JDT yang sudah biasa beraksi dalam perlawanan besar dan pertandingan berintensiti tinggi.
“Kami pernah beraksi di sini menentang Nam Định musim lalu dan suasananya sangat baik. Penyokong tuan rumah di Vietnam sentiasa cuba mewujudkan suasana yang memberikan tekanan kepada pasukan pelawat.
“Namun, sebagai pemain JDT, kami sudah biasa dengan suasana seperti ini. Kami pernah beraksi dalam perlawanan besar dan pertandingan besar sebelum ini.
“Kami sukakan suasana seperti ini dan lebih gemar melihat penyokong memenuhi stadium. Kami mahu datang ke sini, memberikan persembahan positif dan membawa pulang keputusan yang baik ke Johor,” katanya.
Lowry berkata demikian ketika sidang akhbar praperlawanan bersama ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz menjelang pertemuan menentang Công An Hà Nội FC. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JOHOR Southern Tigers
