JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menuntut anak buahnya mempamerkan aksi pada tahap maksimum bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata tercapai apabila berdepan Công An Hà Nội FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup) 2026/2027, hari ini.
Pengendali dari Sepanyol itu menyifatkan pertemuan aksi kedua Kumpulan B di Vietnam itu bukan tugas mudah memandangkan lawan memiliki kekuatan dalam aspek penguasaan bola, transisi pantas serta barisan pemain berkualiti di bahagian serangan.
Menurut Xisco, JDT perlu segera mendapatkan rentak terbaik selepas kembali daripada rehat antarabangsa bagi memastikan momentum dalam pertandingan itu dapat diteruskan.
“Esok pastinya perlawanan sukar kerana kami mengenali lawan dengan baik. Mereka sebuah pasukan yang gemar mengawal bola, bijak mencari ruang, mempunyai transisi yang kuat serta tiga atau empat pemain sangat berbahaya di bahagian serangan.
“Kami akan memberikan yang terbaik untuk menyekat mereka dan beraksi pada tahap maksimum. Penting untuk kami kembali ke pertandingan ini dengan kuat selepas rehat antarabangsa serta membawa pulang tiga mata penting ke Johor,” katanya.
Mengulas kekuatan Công An Hà Nội, Xisco turut memberi perhatian kepada keupayaan lawan memanfaatkan bola kedua, hantaran lintang ke tiang jauh serta serangan balas pantas.
Beliau turut menyenaraikan beberapa pemain yang perlu diberi perhatian termasuk pemain tengah menyerang, Leo Artur yang memakai jersi nombor 10 kerana kebijaksanaan mencipta peluang dan hantaran akhir.
Selain itu, Damian Sabater (14) turut dianggap penting dalam mengatur agihan bola, manakala penyerang Pereira (90) memiliki pergerakan berbahaya dalam kotak penalti.
Pertahanan lawan yang memakai jersi nombor 55 pula disifatkan kuat ketika berdepan situasi satu lawan satu.
Ketika ditanya mengenai penyerang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyễn Đình Bắc yang menjaringkan gol ketika tugasan antarabangsa malam sebelumnya, Xisco menjelaskan tumpuannya lebih terarah kepada pemain import yang dijangka berada dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui kekuatan Công An Hà Nội bukan hanya terletak pada pemain serangan, malah keseimbangan pasukan dalam aspek pertahanan dan serangan.
“Saya bercakap mengenai pemain import kerana kami percaya tiga atau empat pemain itu berada pada tahap tinggi dan mungkin berada dalam kesebelasan utama esok.
“Namun, pertahanan tengah mereka juga kuat. Antara kelebihan terbesar pasukan ini ialah keseimbangan dalam fasa bertahan dan menyerang.
“Mereka sangat berbahaya ketika situasi bola kedua dan mengambil kesempatan terhadap ruang di belakang barisan pertahanan kami. Jadi, kami perlu kekal mengawal permainan,” katanya.
Mengulas perbandingan dengan Nam Định FC yang pernah mengikat JDT 1-1 ketika kunjungan ke Vietnam sebelum ini, Xisco enggan menjadikan keputusan lalu sebagai ukuran.
Sebaliknya, beliau menegaskan kedua-dua pasukan kini berada dalam situasi berbeza dan JDT perlu memanfaatkan momentum semasa untuk terus mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas Kumpulan B.
“Kedua-dua pasukan berada dalam prestasi baik dalam pertandingan ini. Kami mahu mengekalkan momentum dan mendapatkan mata kerana ia penting untuk mengukuhkan kedudukan di hadapan kumpulan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JOHOR Southern Tigers
