Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
SHAH ALAM – Krisis politik dan institusi yang melanda Negeri Sembilan pada 2026 berpotensi menjadi satu catatan penting dalam sejarah negara, khususnya berkaitan perebutan kuasa, keluhuran perlembagaan dan tanggungjawab kepimpinan.
Mohd Azmi Abdul Hamid dalam penulisannya bertajuk Krisis Negeri Sembilan: Dalam Catatan Sejarah 10 Tahun Mendatang berkata, kemelut itu bukan sekadar pertelingkahan mengenai kedudukan Menteri Besar, sebaliknya turut membabitkan hubungan antara kepimpinan kerajaan negeri dengan institusi Yang di-Pertuan Besar.
Menurut beliau, keunikan Negeri Sembilan yang mempunyai institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan adat Perpatih menjadikan krisis berkenaan mempunyai implikasi lebih luas terhadap sistem pemerintahan negeri.
Katanya, perkara itu turut menyentuh soal kedaulatan institusi, keluhuran perlembagaan, penghormatan terhadap adat serta keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan.
Berdasarkan kronologi yang dikemukakan, kemelut berkenaan bermula pada 19 April lalu apabila berlaku pertikaian berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, termasuk proklamasi yang mempertikaikan kedudukan baginda.
Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Kemudian, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan pada 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun, kemelut semakin meruncing apabila pelantikan 10 anggota Exco kerajaan negeri dibatalkan Tuanku Muhriz pada 21 September lalu atas alasan pelanggaran sumpah jawatan.
Pada 14 Oktober lalu, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan berkaitan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar dan pertikaian yang berlaku.
Ismail bersama 10 bekas Exco kemudian dilaporkan menarik balik surat bertarikh 17 September yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz pada 10 November lalu.
Krisis kembali menjadi perhatian apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) pada 16 November lalu mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, namun pengumuman itu dipertikaikan sendiri oleh beliau.
Pada 20 November lalu, Ismail menghadap Tuanku Muhriz dan isu peletakan jawatan menjadi semakin rumit apabila Istana menjelaskan beliau perlu membuktikan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta mengemukakan senarai calon Exco baharu.
Perkembangan pada 21 November pula menyaksikan 24 daripada 25 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan mematuhi keputusan kepimpinan parti masing-masing bagi menyelesaikan krisis berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, kemelut itu perlu dilihat dari sudut tanggungjawab wakil rakyat yang bukan sahaja terikat dengan disiplin parti, malah mempunyai amanah perlembagaan dan moral terhadap pengundi.
Beliau berpandangan, wakil rakyat dipilih untuk mewakili kepentingan masyarakat dan bukan sekadar menjadi angka dalam percaturan kepimpinan parti.
Katanya, pengumuman mengenai peletakan jawatan Menteri Besar oleh kepimpinan parti sedangkan individu terbabit kemudian menafikannya turut memerlukan penjelasan telus kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan rakyat sebagai pihak yang paling terkesan apabila berlaku pertelingkahan antara pemimpin politik.
Menurutnya, ketidaktentuan pentadbiran boleh menjejaskan pelaksanaan dasar, projek pembangunan, keyakinan pelabur serta urusan kebajikan masyarakat.
Malah, Belanjawan Negeri 2027 juga perlu dibentangkan dan diluluskan mengikut proses perlembagaan, sekali gus menjadikan kestabilan pentadbiran negeri sebagai perkara penting.
Beliau turut mengingatkan bahawa adat Perpatih yang berteraskan permuafakatan, perundingan dan tanggungjawab kolektif sepatutnya menjadi asas penyelesaian konflik politik di negeri itu.
Sehubungan itu, Mohd Azmi mencadangkan lima pembaharuan bagi memastikan krisis sama tidak berulang, termasuk memulihkan penghormatan terhadap perlembagaan dan institusi, membina kod etika kepimpinan negeri serta memperkukuh mekanisme perundingan.
Selain itu, agenda pembangunan rakyat perlu terus diutamakan tanpa terjejas akibat pertukaran kepimpinan, manakala satu kajian institusi bebas dan berwibawa dicadangkan bagi meneliti punca serta kesan krisis berkenaan.
Beliau berkata, sejarah mungkin merekodkan krisis 2026 sebagai titik pemulihan institusi sekiranya semua pihak mengambil iktibar dan menyelesaikan pertikaian melalui saluran sah.
Bagaimanapun, jika pertelingkahan berulang dan kepentingan politik terus mengatasi prinsip, krisis itu berkemungkinan dikenang sebagai contoh kegagalan budaya politik serta kemerosotan kepercayaan rakyat.
“Kuasa tidak pernah terpisah daripada pertanggungjawaban. Seorang pemimpin mungkin berjaya mendapatkan jawatan, tetapi kejayaan itu belum membuktikan bahawa amanah telah ditunaikan,” katanya.
Beliau menegaskan, Negeri Sembilan seharusnya dikenang sebagai negeri yang berjaya mempertahankan keunikan adat, memelihara institusi dan menghormati perlembagaan.
Katanya, tindakan pemimpin hari ini akan menentukan bagaimana generasi 2036 menilai krisis politik yang berlaku, sama ada sebagai pengajaran ke arah pembaharuan atau bukti kegagalan mengutamakan amanah rakyat. – DETIK MALAYSIA
