MANJUNG – Program Hari Ukhuwah Family Tahun 6 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Manbail Ulum, Bagan Datuk berlangsung meriah di Teluk Senangin, Manjung hari ini.
Program yang bermula pukul 8 pagi itu menghimpunkan murid Tahun 6 bersama guru, ibu bapa dan keluarga masing-masing.
Penganjuran program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai semangat ukhuwah dalam kalangan warga sekolah dan keluarga murid.
Pelbagai aktiviti santai diadakan bagi memberi peluang kepada semua peserta meluangkan masa bersama dalam suasana kekeluargaan.

Pihak sekolah turut menyediakan hidangan antaranya ayam barbeku, nasi goreng kampung, coleslaw dan kentang goreng.
Ibu bapa juga membawa makanan secara potluck untuk dikongsi bersama-sama bagi memeriahkan majlis.
Selain menikmati hidangan, murid dan keluarga turut berpeluang melakukan aktiviti riadah termasuk mandi-manda.
Program itu turut menjadi kenangan bermakna buat murid Tahun 6 sebelum melangkah ke alam persekolahan seterusnya.
Guru, ibu bapa dan murid turut merakamkan gambar kenangan sempena program berkenaan.
Penganjuran itu diharap dapat terus mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan ukhuwah dalam komuniti SRAR Manbail Ulum. – DETIK MALAYSIA
