PETALING JAYA – Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli terlepas peluang mengutip mata selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Portugal Moto3 di tempat ke-16, semalam.
Pelumba berusia 19 tahun itu hanya ketinggalan 0.577 saat daripada kedudukan ke-15 yang menjadi slot terakhir untuk mengutip mata dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao.
Mewakili pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSI, Hakim Danish memulakan perlumbaan dari petak ke-12 selepas mencatat masa 1 minit 46.680 saat pada sesi kelayakan, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, keadaan litar basah menyebabkan jarak perlumbaan terpaksa dikurangkan daripada 19 kepada 12 pusingan.
Hakim Danish menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 22 minit 44.350 saat, ketinggalan 32.163 saat di belakang pemenang dari Sepanyol, Maximo Quiles yang merekodkan masa 22:12.187.
Pelumba negara itu bermula baik apabila mengekalkan kedudukan ke-12 pada dua pusingan awal sebelum merosot ke tangga ke-14 pada pusingan ketiga dan ke-16 pada pusingan keempat.
Malah, Hakim Danish turut berdepan kesukaran apabila terjatuh ke kedudukan ke-18 pada pusingan ke-10 sebelum memperbaiki rentak perlumbaan.
Dia kemudian mencatat masa terpantas peribadi 1:50.503 pada pusingan ke-11, selain merekodkan kelajuan maksimum 240 kilometer sejam.
Pada pusingan terakhir, pelumba bernombor 13 itu berjaya memintas Leo Rammerstorfer dan Eddie O’Shea untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Namun, usaha tersebut belum cukup untuk membolehkannya memintas pelumba di kedudukan ke-15, Jesus Rios bagi meraih mata.
Sementara itu, Quiles muncul juara selepas menewaskan Rico Salmela dan Adrian Fernandez yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish turun satu anak tangga ke kedudukan kesembilan keseluruhan dengan mengumpul 125 mata.
Dia kini hanya dipisahkan dua mata dengan Valentin Perrone yang berada di tangga kelapan, manakala mendahului Salmela di kedudukan ke-10 dengan kelebihan 12 mata.
Dalam kategori Rookie of the Year, Hakim Danish turut berada di tempat ketiga dengan 125 mata di belakang Brian Uriarte (217 mata) dan Veda Pratama (144 mata).
Dengan 25 mata maksimum masih menjadi rebutan pada perlumbaan terakhir musim ini di Valencia minggu depan, Hakim Danish berpeluang memperbaiki kedudukan keseluruhan dan memburu semula tangga kelapan kejuaraan dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
