JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz mahu anak buahnya memperbaiki permulaan permainan bagi mengelak kesilapan sama berulang menjelang aksi Liga Peringkat Kumpulan (Wilayah Timur) Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/2027 menentang Ratchaburi FC malam ini.
Beliau menegaskan skuad Harimau Selatan perlu tampil dengan intensiti tinggi sejak sesi memanaskan badan bagi menghadapi cabaran pasukan tuan rumah di Stadium Ratchaburi, Thailand.
JDT yang kini berada di tangga ketujuh dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan bertekad bangkit selepas tewas 0-2 kepada wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC pada aksi terdahulu.
Xisco berkata, jadual perlawanan yang padat menuntut pemain mengekalkan kekuatan mental, karakter dan semangat untuk terus memburu keputusan positif.
“Kami tahu berdepan pasukan yang sangat baik dan mereka cukup berbahaya terutama pada minit-minit awal dengan intensiti permainan tinggi.
“Justeru, kami perlu mempamerkan aksi terbaik dan cuba pulang ke Johor dengan keputusan positif,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan semalam.
Menurutnya, Ratchaburi yang hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan dijangka memberikan tentangan sengit kerana kemenangan amat penting untuk menghidupkan peluang mereka ke pusingan 16 terbaik.
Katanya, JDT perlu menyamai tahap kesungguhan dan karakter pasukan tuan rumah yang dijangka menganggap perlawanan itu seperti aksi final.
Mengulas lanjut, pengendali dari Sepanyol itu turut mengingatkan pemain supaya tidak mengulangi permulaan hambar ketika aksi terakhir Shopee Cup menentang Hanoi.
“Kami tidak boleh mengulangi kesilapan pada minit-minit awal perlawanan terakhir.
“Penting untuk kami memasuki padang dengan penuh tenaga dan agresif. Kami perlu mula memenangi perlawanan sebaik sahaja sesi memanaskan badan,” katanya.
Xisco berkata, pemain perlu meningkatkan intensiti, mengawal permainan serta lebih klinikal ketika mencipta peluang kerana setiap kesempatan amat penting dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.
Beliau turut menegaskan JDT tidak boleh membenarkan diri mereka beraksi di bawah tahap sebenar selama 15 hingga 20 minit seperti yang berlaku sebelum ini.
“Fokus perlu dikekalkan pada setiap minit kerana itulah perkara utama yang mahu kami perbaiki menjelang perlawanan ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
