SHAH ALAM – Pemergian Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said disifatkan sebagai kehilangan besar buat negara yang bukan sahaja kehilangan seorang tokoh sastera, malah pemikir masyarakat dan suara nurani bangsa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Allahyarham merupakan insan seni yang sekian lama menyumbangkan pemikiran, gagasan serta suara kemanusiaan menerusi karya-karya yang mempunyai nilai kesedaran bangsa.
Menurutnya, Allahyarham bukan sekadar sasterawan yang menghasilkan karya bermutu, sebaliknya seorang pemikir yang menjadikan bahasa dan kesusasteraan sebagai wadah untuk meneliti kehidupan serta menyuarakan keresahan masyarakat.
“Beliau turut mengangkat maruah manusia dan mengajak bangsa berfikir tentang arah masa depannya.
“Kekuatan seorang pemikir terletak pada keberaniannya mengemukakan persoalan yang mungkin tidak selesa untuk didengar, tetapi penting untuk direnungkan,” katanya dalam kenyataan takziah MAPIM bertarikh 24 November.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang perjalanan hidup dan penghasilan karya Allahyarham, tokoh itu sentiasa meletakkan nilai kemanusiaan, keadilan, kebebasan berfikir dan martabat bahasa sebagai sebahagian daripada tanggungjawab intelektualnya.
Katanya, karya serta pemikiran Allahyarham akan terus menjadi sebahagian daripada khazanah intelektual dan kebudayaan negara meskipun beliau telah pergi buat selama-lamanya.
“Pemergian jasadnya tidak memadamkan sumbangan yang telah ditinggalkan kepada generasi hari ini dan akan datang.
“Negara memerlukan lebih ramai pemikir, sasterawan dan intelektual yang berani menyumbang kepada pembinaan masyarakat berilmu, berakhlak, berbudaya serta mempunyai kesedaran kemanusiaan yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM berpandangan bangsa yang besar ialah bangsa yang menghargai pemikirnya, memelihara warisan ilmu dan meneruskan tradisi keberanian untuk menegakkan kebenaran.
Sehubungan itu, beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima amal kebajikannya serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
MAPIM turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta berharap mereka diberikan ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan itu. – DETIK MALAYSIA
